'Mat rempit' Perak disamakan bintang Sabah, kini jadi pemain kegemaran YCL


  • Podium
  • Selasa, 03 Okt 2023

Kualiti memberangsangkan pemain muda merupakan salah satu punca di sebalik kebangkitan skuad TBG. — Facebook/Perak FC

SEJAK awal musim lalu, Perak FC merupakan salah sebuah pasukan Liga Super yang tidak lekang daripada memberikan minit permainan terhadap ubi muda mereka.

Meskipun terdapat perubahan terhadap pihak kejurulatihan, ia tidak memberi kesan terhadap pendekatan itu apabila ia terus membuahkan hasil buat mereka.

Di samping mencipta kejutan dengan layak ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia, skuad The Bos Gaurus (TBG) juga kini sudah menemui rentak dalam Liga Super.

Kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan FC pada Ahad menyaksikan skuad kendalian Yusri Che Lah itu sudah mengumpul 19 mata dalam Liga Super yang mengikat mereka dengan pasukan di tangga ke-10, Penang FC.

Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong kelab Utara tanah air berkenaan semakin bersungguh-sungguh untuk memberikan pujian terhadap ubi muda mereka.

382980535_325832329997149_8772734458898274737_n

Peningkatan ketara daripada Aiman membolehkannya dijulang penyokong skuad TBG. Facebook/Perak FC

Salah seorang bintang yang sering dijulang namanya ialah pemain pertahanan, Aiman Khairul Yusni apabila dia memiliki kebolehan untuk beraksi di beberapa posisi.

Ketika aksi timbal balik Piala Malaysia baru-baru ini, bek berusia 22 tahun itu beraksi dengan cukup konsisten dalam menyekat serangan pemain Sabah FC.

Persembahannya itu menyebabkan Yusri Che Lah gagal menahan dirinya daripada memberi pujian terhadap pemain tersebut dengan menegaskan hubungan mereka cukup baik sejak beberapa tahun sebelum ini.

Menurut jurulatih berusia 47 tahun berkenaan, Aiman merupakan seorang 'mat rempit' sebelum memulakan kariernya dalam bola sepak secara profesional.

Usikan tersebut turut berlaku ketika pertahanan kelahiran Kuala Kangsar, Perak itu ditemu bual portal Harimau Malaya selepas aksi berdepan Sabah FC.

"Dia dahulunya mat rempit," kata Yusri sebelum diikuti gelak tawa daripada pemain berkenaan yang kelihatan amat tenang ketika berkata-kata di hadapan lensa kamera.

Pujian tersebut bukan sahaja hadir daripada pengendali Perak FC itu apabila rata-rata penyokong pasukan juga sempat memberi sokongan terhadapnya.

382784429_325898726657176_5758922901550860443_n

Yusri merupakan salah seorang yang tidak lekang memberikan pujian terhadap Aiman Yusni. Facebook/Perak FC

"Kisah silam biar menjadi sejarah, yang penting gunakan bakat yang ada untuk memajukan diri. Bermainlah buat pasukan Perak FC, jangan kerana habuan," ujar Ham Botan Ham Botan.

"Keras (tegap) seperti bek Sabah FC, Rizal Ghazali ketika dia muda. Semalam, Rizal pun beri penghormatan buatnya," kata Mat Syafiq.

"Perak FC jangan lepaskan anak muda Perak ni. Jaga baik-baik kerana apabila bermain dengan cantik, mulalah pasukan-pasukan lain intai," ujar Jiwa Kacau.

Setakat ini, Aiman sudah diturunkan dalam enam aksi Liga Super di samping beberapa penampilan dalam Piala Malaysia setelah dibawa masuk dari Perak FC II Julai lalu.

Skuad TBG kini mempunyai peluang cerah untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga dengan mereka bakal berdepan Kelantan FC 28 Oktober lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram