DI awal musim 2023, Perak FC antara pasukan yang dijangka tidak akan bertahan lama dałam saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas mereka dihimpit dengan masalah prestasi dan sekadar menjadi pelengkap jadual kejohanan.
Namun sejak Yusri Che Lah menggantikan Datuk Lim Teong Kim pada Mei lalu, pasukan dengan gelaran The Bos Gaurus (TBG) itu seakan-akan mendapat tonik baharu dan kini sedang mempersiapkan diri untuk menentang Johor Darul Takzim (JDT) bagi saingan Piala Malaysia.
Dari menjadi pasukan belasahan, skuad Seladang bangkit lebih kuat dan seterusnya berhasil menewaskan dua kuasa besar Liga Super iaitu Kedah Darul Aman (KDA) FC serta Sabah FC untuk mara ke saingan separuh akhir piala berprestij tersebut.
Namun ujian berat menanti pasukan Utara tanah air itu di peringkat separuh akhir kerana juara bertahan, JDT diketahui memiliki kekuatan sendiri dan motivasi besar untuk merebut kejuaraan berkenaan.
Selepas Harimau Selatan berhasil merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut, Piala Malaysia menjadi trofi ketiga untuk membantu skuad kendalian Esteban Solari melengkapkan treble untuk kali kedua.
Meskipun di atas kertas, situasi tidak memihak kepada Perak FC namun Ketua Pegawai Eksektutif Interim kelab, Bobie Farid Shamsudin mendedahkan satu perkara yang akan membuat JDT cemburu dengan skuad TBG.
Tangkap layar hantaran dari Bobie.
Menerusi satu hantaran di Facebook TBG Super Fan, Bobie yakin bahawa Stadium Perak, Ipoh akan penuh walaupun aksi pertama separuh akhir itu diadakan pada hari bekerja.
"Berdasarkan hantaran yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), skuad TBG akan menentang JDT pada 19 Oktober 2023 di Stadium Perak, Ipoh.
“Ada satu benda saja yang akan buat JDT rasa iri hati..Iaitu walaupun kita main hari Khamis malam Jumaat..Walaupun ia hari bekerja..Stadium Perak penuh.
“Menang kalah belakang cerita. Yang aku hairan yang menganjing di page JDT bukan orang Perak tapi orang Kedah, orang Selangor. Yang tak masuk semi tu duduk diam-diam dah. Kita cuba ya,” tulisnya.
Selepas aksi di gelanggang Perak FC, kedua-dua pasukan akan kembali beradu kekuatan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) bagi perlawanan timbal balik separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 2 November 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram