Terharu lihat kibaran bendera di Stadium Ipoh, Park Karim kongsi mesej dari lubuk hati


  • Podium
  • Rabu, 27 Sep 2023

Musim, Tae-su membantu Sabah mencetak tujuh jaringan gol bagi kejohanan Liga Super. — Facebook/PerakFC

KETUA pasukan Sabah FC, Park Tae-su antara import The Rhinos yang boleh dilabel sebagai pembelian berbaloi apabila menampilkan persembahan cemerlang musim ini sejak dia menyertai kelab Borneo itu pada 2018/19.

Apabila bercakap mengenai import yang pernah berkelana di bumi Malaysia, pemain dari Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina lebih sinonim dengan saingan Liga M namun kehadiran Tae-su memberi tanggapan berbeza kepada penyokong serta pemilik kelab.

Impak positif yang ditampilkan tonggak kelahiran Incheon, Korea Selatan itu secara tidak langsung membuka peluang untuk pemain dari negara Asia itu beraksi di liga domestik dan buktinya musim ini terdapat beberapa kelab memilih menggunakan import dari negara republik itu.

Misalnya, penyerang sayap Korea Selatan Perak FC, Seo Seonung juga berhasil menarik perhatian penyokong musim ini dengan merekodkan sebanyak enam jaringan gol untuk kesemua kejohanan The Bos Gaurus (TBG) sejak dia menyertainya pada musim 2023.

Dengan kecemerlangan dan kehadiran dua pemain itu, adalah tidak mengejutkan jika selepas ini banyak lagi kelab akan mula mengikuti Perak FC dan Sabah FC untuk melamar pemain berkualiti dari Korea Selatan.

WhatsApp Image 2023-09-27 at 12.29.31

Tangkap layar Insta Story Tae-su.

Malah, hasrat bagi menyaksikan lebih ramai pemain Korea Selatan beraksi di saingan Liga M turut diluahkan oleh Tae-su yang juga dikenali sebagai 'Pak Karim' di kalangan rakan-rakan sepasukan dalam pasukan Sabah.

"Saya harap ramai pemain Korea bermain di Malaysia dan mahu tengok banyak bendera Korea," katanya menerusi laman Insta Story peribadinya.

Hantaran tersebut dimuat naik apabila penyokong membawa bendera tanah airnya ketika perlawanan suku akhir Piala Malaysia yang menyaksikan Sabah tewas 2-3 secara agregat di tangan TBG di Stadium Perak, Ipoh, Perak pada Isnin.

Jaringan tunggal dari pemain berpengalaman, Wan Zack Haikal dalam masa kecederaan babak pertama mencukupi buat anak buah Yusri Che Lah menempah kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan suku akhir pertama di Likas sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram