TBG dapat ‘clean sheet’, tapi Yusri Che Lah ada sebab untuk bimbang


  • Podium
  • Selasa, 03 Okt 2023

Sebahagian aksi barisan pemain Perak FC meraikan kemenangan ke atas NSFC. —Facebook/Perakfc

MESKIPUN merekodkan clean sheet pertama dalam saingan Liga Super 2023 ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Ahad lalu, Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah dilihat masih 'termenung'.

Walaupun gembira kerana mereka bangkit tanpa sebarang kecederaan ketika menentang skuad Jang, dia merasakan persembahan itu membimbangkan dengan banyak perlawanan sukar yang bakal dihadapi dalam tempoh lima minggu akan datang.

Yusri berkata, pasukannya perlu bermain secara konsisten sama seperti dalam saingan Piala Malaysia 2023 yang dilihat membuahkan hasil apabila mereka berjaya mara ke separuh akhir.

Meskipun meraih kemenangan ke atas NSFC, Perak dijangka bakal bergelut apabila berdepan pasukan gergasi tanah air.

The Bos Gaurus (TBG) akan menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi pertama Piala Malaysia di Stadium Ipoh, Perak pada 19 Oktober dan perlawanan timbal balik di tempat lawan pada 2 November.

Dalam saingan Liga Super, skuad Perak akan menerima kunjungan daripada Kelantan FC pada 28 Oktober dan Sabah FC pada 2 Disember.

Manakala, perlawanan penting di tempat lawan akan menentang Selangor FC di tempat kedua liga pada 25 November dan Terengganu pada 17 Disember.

“Kami berjaya mencatat rekod bersih pertama kami dalam Liga Super dan juga bertahan untuk menang menentang NSFC tetapi saya sedikit bimbang dengan prestasi itu.

“NSFC hanya mempunyai tiga pemain import dan dua daripadanya bermain tetapi kami masih bergelut. Kami perlu mempamerkan persembahan yang lebih konsisten menentang pasukan yang lebih kuat. Kami masih belum berada dalam kedudukan selamat dalam liga,” katanya.

Dengan mengutip 19 mata daripada 22 perlawanan, Perak FC dilihat berada dalam kedudukan selamat iaitu tangga ke-11, mereka bagaimanapun masih memerlukan satu lagi kemenangan daripada baki empat perlawanan untuk mengelak penyingkiran ke Liga M3.

“Piala Malaysia adalah sangat penting dan kami perlu mempunyai pemain terbaik kami. Ini sebab saya merehatkan Wan Zack Haikal. Kami perlukan dia cergas untuk JDT.

“Saya juga memutuskan untuk memberi peluang kepada penjaga gol, Farhan Abdul Majid dalam aksi liga pertamanya dan dia melakukannya dengan baik.

“Kami akan menggunakan masa rehat dalam tempoh dua minggu akan datang untuk persediaan menghadapi Piala Malaysia dan juga untuk memastikan tempat kami dalam Liga Super," ujarnya.

Dua pasukan terbawah dari Liga Super akan disingkirkan manakala dua pasukan teratas dari liga M3 akan dinaikkan pangkat.

Kuching City, yang berada di tangga terbawah liga dengan tujuh mata daripada 21 perlawanan, dan Kelantan, menduduki tempat kedua terakhir daripada 14 pasukan, dengan lapan mata daripada 21 perlawanan, dilihat bakal menjadi calon penyingkiran musim ini. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram