PERNAH dilabel sebagai trio harapan dan sandaran ketika didaftarkan selaku pemain Sri Pahang FC satu ketika dahulu, namun tanggapan penyokong terhadap tiga individu ini kian merudum susulan kegagalan ditunjukkan di atas padang pada tahun ini.
Ditambah pula dengan kehadiran pemain-pemain baharu yang jauh lebih muda dan mampu menggalas tanggungjawab selaku tonggak pasukan ketika ini, ia menguatkan lagi dorongan untuk mereka ditamatkan kontrak sebelum memasuki musim 2024.
Sebilangan penyokong berpendapat bahawa faktor usia turut menjadi penghalang terbesar buat seseorang pemain itu untuk kekal cemerlang dalam sesebuah pasukan.
Namun, faktor itu juga mungkin boleh diambil kira dengan beberapa pemain dalam skuad Tok Gajah musim ini sudah menginjak usia melebihi 30 tahun yang sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada tahap kecergasan mereka.
Berikut merupakan tiga pemain yang dijangka dilepaskan pengurusan kelab untuk mereka berhijrah ke pasukan lain pada penghujung musim ini.
1. Muslim Ahmad
Kelibat bekas pertahanan skuad kebangsaan itu semakin sukar untuk dilihat di atas padang dengan posisinya selaku pertahanan tengah lebih didominasi oleh Fadhli Shas dan Michael Glassock.
Belum mencatatkan sebarang penampilan pada musim ini, membuatkan peminat mula berasa sangsi dengan kemampuan pemain kelahiran Terengganu itu untuk kekal bersama Pahang untuk jangka masa panjang.
Bahkan, sebelum ini pemain itu pernah disamakan dengan kapten Manchester United, Harry Maguire susulan kesilapan serta kecuaiannya yang sering kali mengundang padang buat rakan sepasukan ketika dalam perlawanan.
Kerap hilang bola dan kurang kemas dalam membuat hantaran merupakan antara faktor mengapa dia sering memanaskan bangku simpanan daripada diturunkan di atas padang.
2. Rafael Silva
Penyerang kelahiran Brazil, Rafael Silva gagal memenuhi impian penyokong Tok Gajah yang sebelum ini menjangkakan individu itu sebagai peledak utama.
Hanya memiliki dua penampilan pada musim ini, ia nyata satu situasi cukup menyedihkan buat seluruh peminat serta rakan sepasukan yang masih ketandusan penyerang import berkualiti.
Meskipun memiliki ketinggian melebih 1.82 meter, ia gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan mahupun tandukan berkualiti yang sepatutnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain tersebut.
Setakat ini, hanya Kpah Sherman yang masih kekal diletakkan selaku penyerang utama dengan kelibatnya di atas padang mampu mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.
3. Kuvondik Ruziev
Meskipun baru sahaja dibawa masuk sebagai import baharu Pahang, Kuvondik gagal membentuk gandingan serasi bersama Kpah Sherman dan tumpul di barisan serangan pasukan.
Lima penampilan dimiliki musim ini masih belum cukup untuk membuatkan dirinya kekal disenaraikan dalam skuad Tok Gajah pada musim akan datang dengan jurulatih Fandi Ahmad pastinya mahukan pembaharuan di posisi tersebut.
Sebelum ini, pemain kebangsaan Uzbekistan itu sering dikritik ramai apabila dia tidak mempunyai statistik dan reputasi yang cukup baik di luar negara.
Semasa mewakili kelab FK Turon di Piala Uzbekistan musim lalu, dia hanya diturunkan sebanyak tiga kali dan memiliki satu gol serta 'assist' sebelum dibawa masuk ke Pahang.
Justeru, peminat pastinya dahagakan kemenangan dan posisi peledak utama antara yang paling mencuri perhatian dengan kehadiran pemain import berkualiti sentiasa menjadi keutamaan setiap pasukan di Liga Malaysia (Liga M). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram