[VIDEO] 'ALLAH lindungi keluarga aku', 1 famili nyaris maut, sempat elak kemalangan besar berhampiran susur keluar Kuala Kangsar


  • Tular
  • Isnin, 02 Okt 2023

Tangkap layar kemalangan membabitkan beberapa buah kenderaan yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Kangsar, Perak pada Ahad.

SEBUAH keluarga nyaris kemalangan apabila hampir berlanggar dengan beberapa buah kenderaan yang terhenti di tengah laluan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Kuala Kangsar pada Ahad.

Ketika kejadian, beberapa kereta kelihatan terhenti di tengah jalan dipercayai akibat perlanggaran yang sekali gus menyebabkan laluan itu terhalang.

Dalam pada itu, sebuah kereta jenis Perodua Axia sebelumnya gagal menekan brek dan turut terlibat dalam kemalangan itu.

Individu dikenali sebagai Fikaaaa di laman media meluahkan rasa syukur kerana terselamat daripada insiden terbabit apabila suaminya sempat mengelak daripada perlanggaran tersebut.

Dirakamkan menerusi kamera dashcam, video berdurasi seminit itu tular dan hangat diperkatakan warganet.

Jelasnya, dia berasa sangat lega kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

"ALLAH lindungi keluarga aku, syukur sangat kerana terselamat daripada kemalangan besar.

"Anak-anak tak ada yang tercedera cuma tangan masih lagi bergetar dan trauma dengan insiden yang berlaku depan mata," katanya di ruangan kapsyen.

Dalam pada itu, menurut Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, kejadian tersebut menyebabkan laluan bertukar sesak dengan beberapa buah kenderaan kemudiannya terpaksa memperlahankan pemanduan bagi memberikan laluan kepada kerja-kerja pembersihan.

Namun difahamkan, tiada kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut dan orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika memandu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram