SEORANG lelaki bertindak di luar kawalan apabila mengasari beberapa anggota polis bantuan di sebuah kawasan berdekatan Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur pada Ahad.
Individu itu yang dipercayai merupakan seorang jurufoto sambilan di situ, mendakwa ditengking polis berkenaan sebelum mengganas ketika kejadian.
Namun, perbuatannya membawa padah apabila dia ditahan dan dikepung beberapa lagi anggota yang kemudiannya tampil di lokasi tersebut.
Enggan mengalah, jurufoto itu terus memberontak dan cuba meloloskan diri daripada tangkapan tersebut sebelum cuba ditenangkan beberapa individu yang menyaksikan insiden berkenaan.
Dalam pada itu, beberapa orang lelaki dipercayai rakannya cuba membantu dan meminta agar perkara tersebut diselesaikan dengan cara baik.
Namun, polis bantuan tersebut terus memberikan arahan agar kerjasama diberikan oleh pihak terbabit dan kekecohan itu berjaya dikawal tanpa sebarang kecederaan yang berlaku.
Belum ada sebarang kenyataan polis berkaitan isu itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram