Kes tikam pakai gunting di kedai dobi: Suspek, mangsa saling tak mengenali — Polis Terengganu


  • 112
  • Isnin, 02 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang wanita ditikam oleh individu tidak dikenali dengan menggunakan gunting di sebuah kedai dobi di Kuala Nerus baru-baru ini.

DALAM tempoh kurang 24 jam, suspek yang disyaki menikam seorang wanita dengan menggunakan senjata tajam dipercayai gunting di kedai dobi layan diri di Kuala Nerus, Terengganu pada Sabtu lepas, berjaya diberkas polis pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superitendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata suspek yang juga seorang penganggur berusia 25 tahun itu ditahan di Kampung Mengabang Telipot, sekitar 3.30 petang semalam.

Beliau berkata, suspek kini direman selama empat hari bermula Isnin bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 393 akta sama.

"Melalui siasatan awal, kedua-dua mereka tidak mengenali antara satu sama lain dan mangsa yang berusia 31 tahun dilaporkan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah serta berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika dihubungi.

BACA LAGI: Polis kesan lelaki naik hantu tendang, tikam wanita di dobi layan diri Terengganu

Dilapor pada Sabtu lepas, seorang wanita ditikam di belakang badannya oleh seorang lelaki menggunakan senjata tajam dipercayai gunting, di dalam sebuah kedai dobi layan diri berhampiran Kem Batalion 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seberang Takir dekat Kuala Nerus.

Turut tular di media sosial, video rakaman kejadian tersebut melalui litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan yang memaparkan suspek meluru masuk lalu menikam mangsa sebelum melarikan diri. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram