JDT dinilai paling berharga di Asean, Selangor tembusi 'top 10' carta


  • Podium
  • Isnin, 02 Okt 2023

JDT dan Selangor FC boleh diangkat sebagai dua pasukan terbaik di peringkat domestik musim ini. — Stadium Astro

CENGKAMAN Johor Darul Takzim (JDT) dalam arena bola sepak tempatan dikukuhkan apabila mereka dinobatkan sebagai juara Liga Super untuk tahun ke-10 berturut-turut.

Kejayaan itu sudah tentu menaikkan lagi nama liga tanah air di peringkat Asia memandangkan kebolehan skuad Harimau Selatan sudah tidak boleh lagi dipertikaikan.

Pencapaian berkenaan bukan sahaja dapat disaksikan dalam landskap tempatan dengan pasukan terbabit juga semakin dihormati setiap kali beraksi dalam pertandingan peringkat benuda.

Musim lalu, JDT mencatat sejarah tersendiri apabila mengesahkan slot dalam peringkat kalah mati Liga Juara-juara AFC (ACL) meskipun berdepan lawan yang mencabar.

WhatsApp Image 2023-10-02 at 20.57.09

Senarai akhir yang dikeluarkan pada September 2023. Facebook/Asean Football

Kejayaan terbabit pastinya mahu diteruskan untuk edisi kali ini dalam usaha merealisasikan hasrat pihak pengurusan bagi menjadikan skuad Harimau Selatan salah sebuah pasukan terbaik di rantau Asia Tenggara.

Usaha mereka itu dilihat sudah membuahkan hasil apabila pada September lalu, JDT diumumkan sebagai pasukan paling bernilai di Asia Tenggara berdasarkan laman sesawang transfermarkt.

Melihat kepada penilaian berkenaan, pasukan Selatan tanah air itu difahamkan bernilai RM49.33 juta, sekali gus mengatasi pencabar terdekat, Buriram United.

Ia menyaksikan JDT menduduki tangga teratas buat pertama kali memandangkan mereka hanya dinilai RM35.75 juta pada kali terakhir senarai itu dikeluarkan pada Februari 2022.

jb25-22072023-piala-fa-2023_3325294_20230723073300

Kejayaan JDT di peringkat domestik membantu menaikkan lagi nilai pasukan berkenaan. Bernama

Selain itu, sebuah lagi pasukan Liga Super, Selangor FC turut diletakkan dalam kelompok kelab paling bernilai dengan mereka berada di tangga ketujuh.

Berdasarkan penilaian berkenaan, kelab Lembah Klang itu berharga mencecah RM27.95 juta, sekali gus mengatasi Persib Bandung (Indonesia) serta dua pasukan Vietnam, Hanoi FC dan Hanoi Police FC.

Musim ini, skuad Gergasi Merah berada dalam landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pentas Asia musim depan dengan mereka berada di tangga kedua Liga Super.

Ia akan menamatkan penantian Selangor FC untuk beraksi di peringkat benua selepas kali terakhir berentap di samping kelab-kelab Asia adalah pada 2016. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram