PEMAIN import Selangor FC, Yazan Al-Arab menjadi bualan para peminat bola sepak tempatan selepas mengasari pengadil utama, Mohd Hasrol Mohd Amir pada suku akhir kedua Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu baru-baru ini.
Tindakan yang dilakukan oleh pemain pertahanan Jordan itu mengundang pelbagai kritikan dan kecaman daripada penyokong sekali gus membayangkan hukuman berat sedang menanti pemain tersebut.
Malah ada penyokong yang mahukan Yazan dikenakan hukuman sama seperti Farizal Marlias yang pernah dihukum oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
AFC menjatuhkan hukuman penggantungan perlawanan selama 12 bulan kepada penjaga gol JDT, Farizal Marlias selepas mengasari pengadil perlawanan dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara pada 31 Mei 2017.
Pemain berusia 37 tahun itu yang melanggar Perkara 47.1.2 dengan Perkara 49.1.2 dan Perkara 50.1 kod Kanun Tatatertib AFC turut didenda sebanyak RM170,567 atas tindakan menolak pengadil dari China, Fu Ming dalam perlawanan menentang kelab Filipina, Ceres Negros FC di Bacolod City.
Dalam perlawanan itu, Farizal dilayangkan kad merah dan hukuman penggantungan 12 bulan itu membabitkan perlawanan seluruh Asia iaitu dalam semua perlawanan domestik, Eropah dan antarabangsa, sama ada perlawanan persahabatan, tidak rasmi atau perlawanan rasmi.
Nwakaeme turut didenda oleh AFC.
Namun adakah anda tahu, selain daripada JDT, lapan tahun lalu Sri Pahang juga pernah didenda oleh AFC kerana dua pemain serta jurulatihnya telah melanggar peraturan Piala AFC.
Jawatankuasa Tatatertib AFC mendenda Sri Pahang yang mana ketika itu, ketua jurulatihnya Datuk Zainal Abidin Hassan dan penyerang import, Dickson Nwakaeme sejumlah RM62,000.
Sri Pahang pula dihukum kerana 'salah laku pasukan' semasa perlawanan suku akhir Piala AFC ketika menentang FC Istiklol dari Tajikistan di Stadium Darul Makmur pada 16 September 2015. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram