MESKIPUN baru sahaja dinobatkan sebagai juara Liga Super untuk tahun ke-10 berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT) seperti masih belum berpuas hati dengan skuad sedia ada.
Ini kerana mereka difahamkan sudah berjaya membawa masuk perancang kelahiran Argentina, Jalil Elias yang ketika ini beraksi di negaranya bersama San Lorenzo.
Gosip perpindahan terbabit sudah tentu mencetuskan keghairahan daripada penyokong skuad Harimau Selatan yang sedang sibuk mencari latar belakang mengenainya.
Berdasarkan informasi di laman sesawang Transfermarkt, Elias yang berusia 27 tahun memiliki nilai pasaran mencecah RM13.94 juta.
Ia jelas menunjukkan bahawa JDT serius bagi memberikan cabaran dalam saingan AFC Elite League yang menggantikan saingan AFC Champions League (ACL) bermula musim depan.
Manakala bagi pasukan naib juara Liga Super akan mendapat slot automatik beraksi dalam AFC Champions League 2 (ACL 2) atau AFC Challenge Cup (ACGL) yang menggantikan Piala AFC.
Dengan Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC dilihat berpeluang menduduki tempat kedua Liga Super musim ini.
Dua pasukan itu wajar ikut jejak langkah JDT membawa masuk pemain berstatus bintang untuk beraksi di pentas Asia.
Majoriti senaraikan tiga bintang 'ideal' buat kedua-dua pasukan jika layak ke Asia musim depan:
Maxime sudah pun menjaringkan 41 gol serta 50 assist bersama Lion City Sailors. — Agensi
1. Maxime Lestienne
Musim ini, Maxime Lestienne membuktikan statusnya sebagai pemain bintang Eropah apabila berjaya menjaringkan 25 gol dan 22 assist dalam 24 perlawanan Liga Singapura 2023.
Ini sekali gus menunjukkan perbezaan kualiti yang amat ketara antara Maxime dengan Liga Singapura yang mana rata-rata pemain masih di bawah par.
Pemain kelahiran Belgium ini juga boleh beroperasi sebagai sayap kiri serta kanan dan turut mempunyai kemampuan bermain sebagai penyerang tunggal kerana memiliki larian yang pantas.
Bersama Lion City Sailors, Maxime sudah pun menjaringkan 41 gol serta 50 assist dalam kesemua kejohanan antarabangsa dan domestik sejak menyertai pasukan itu pada 2022.
Popp telah menjaringkan 44 gol dan 11 bantuan jaringan bersama Muangthong United. — Agensi
2. Willian Popp
Antara pemain sayap berbisa dalam Liga Thailand, Willian Popp membuktikannya menerusi rekod jaringan bersama Muangthong United yang mana dia telah menjaringkan 44 gol dan 11 bantuan jaringan dalam 76 perlawanan bersama kelab gergasi Thailand itu.
Boleh beraksi sebagai penyerang dan tengah, Popp bakal memberikan impak segera kepada Selangor dan Kedah yang mana dia sudah lama beraksi di benua Asia.
Pemain berusia 29 tahun itu, pernah beraksi bersama Busan IPark, Bucheon FC (Korea Selatan), Avispa Fukuoka (Jepun) dan beberapa kelab di Brazil.
Mempunyai skil gelecekan bola yang tinggi serta kekuatan dalam melakukan rembatan Popp bakal menjadi aset penting buat Selangor dan Kedah sekali gus menguatkan posisi sayap kanan pasukan.
Pastore sebelum ini menyertai Qatar SC sebelum bergelar ejen bebas. — Agensi
3. Javier Pastore
Antara rakan sepasukan Lionel Messi dalam skuad kebangsaan Argentina pada 2010 hingga 2017, Javier Pastore mungkin akan memberikan kelebihan buat Selangor dan Kedah jika berjaya memujuknya untuk menyarung jersi pasukan masing-masing.
Pernah beraksi bersama dua buah kelab gergasi Eropah iaitu Paris Sanit-Germain dan AS Roma, Pastore antara 'maestro' terbaik Liga Perancis yang mana dia merekodkan 45 gol dan 58 assist dalam 267 perlawanan bersama PSG.
Selain dua kelab itu, pemain berusia 34 tahun turut pernah beraksi bersama Elche CF (Sepanyol), Palermo FC (Itali) dan CA Huracan (Argentina) sebelum memilih bermain di Asia.
Tahun ini, Pastore menyertai kelab Qatar, Qatar SC sebelum bergelar ejen bebas pada Julai lalu yang mana dia sempat melakuan tujuh penampilan serta satu gol.
Dengan status ejen bebas, ini secara tidak langsung memudahkan Selangor dan Kedah untuk mendapatkan khidmat bekas pemain tengah Argentina itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram