Cemerlang sejak sertai Kedah, Ifedayo senjata utama ‘ligan’ Selangor untuk ke Asia


  • Podium
  • Sabtu, 30 Sep 2023

Ifedayo telah menjaringkan enam gol dalam enam penampilan Liga Super bersama KDA FC. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

PERSAINGAN bagi mendapatkan tempat kedua dalam Liga Super masih belum menemui jalan penyelesaiannya.

Di saat Johor Darul Takzim (JDT) sudah bermain bunga api meraikan sedekad dominasi dalam Liga Super, kedudukan naib juara masih lagi direbut oleh Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC.

Selangor kini berkelebihan, ditambah selepas menewaskan Terengganu FC pada Jumaat. Namun pencabar terdekat iaitu KDA masih ada kelebihan untuk menjerat Gergasi Merah.

KDA berkelebihan satu perlawanan jadi mereka ada lebih kesempatan untuk memastikan kejayaan untuk ligan Selangor berhasil.

Dan usaha menuju kejayaan itu bermula di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan Sang Kenari akan turun menentang Kuala Lumpur (KL) City FC.

Tugas itu nyata sukar kerana KL City bukanlah sebuah pasukan yang boleh ditumbangkan dengan mudah. Skuad Warga Kota ini semakin stabil dari segi prestasi selepas Nenad Bacina mengendalikan pasukan daripada Bojan Hodak.

Akan tetapi, KDA tetap ada senjata mereka untuk memburu kejayaan. Kekuatan Sang Kenari terletak pada penyerang import iaitu Ifedayo Olusegun.

Sejak menyertai KDA, Ifedayo cukup cemerlang membantu pasukannya dari segi sumbangan gol. Pemain yang memegang pasport Bahrain tersebut mencipta jaringan hampir setiap perlawanan Liga Super disertainya.

Setakat enam penampilannya bersama KDA musim ini dalam Liga Super, Ifedayo telah menjaringkan enam gol termasuklah ketika bertemu JDT.

PDRM FC, Kelantan United FC (dua gol), Kuching City FC, Sri Pahang adalah empat pasukan lain yang pernah menjadi mangsa pemain ini. Hanya Penang FC sahaja kelab yang tidak mampu ditembusi Ifedayo.

Jaringan-jaringan Ifedayo telah membantu KDA mendapatkan 16 daripada 18 mata tersedia dalam enam perlawanan. Sumbangannya juga telah membantu KDA tidak kalah sejak tunduk kepada Terengganu pada 3 Julai (lima menang, satu seri).

Oleh itu, ketajaman Ifedayo sebagai penyerang sekali lagi akan diharapkan oleh Nafuzi Zain dan penyokong KDA bagi menumbangkan KL City.

Siapa tahu, ketajaman Ifedayo yang akan memberikan luka buat bekas majikannya di Lembah Klang pada akhir musim? Sama-sama kita nantikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram