PENYERANG naturalisasi Harimau Malaya, Guilherme de Paula kian dilupakan oleh penyokong bola sepak tanah air terutamanya selepas kelibatnya tidak lagi kelihatan bersama kelab Liga M3, Melaka FC.
Selepas pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu semakin kehilangan tempat bersama Harimau Selatan dan juga skuad kebangsaan, De Paula membuat keputusan untuk beraksi di divisyen kedua bagi mendapatkan semula momentumnya sebagai penyerang yang pernah digeruni sebelum ini.
Namun selepas 17 perlawanan bersama skuda Hang Tuah, pemain kelahiran Brazil itu kurang mendapat tempat di bawah kendalian Pedro Hipolito dan kali terakhirnya De Paula diturunkan adalah dalam aksi menentang Harini FT pada 29 Julai lalu.
Sejak aksi yang menyaksikan pasukannya tewas 1-3 di tangan pesaing mereka di laman sendiri, De Paula masih tidak tampil dalam sebarang perlawanan bersama Melaka dalam saingan MBSB Bank Championship musim ini.
Selepas beberapa bulan menyepi, tular sekeping gambar yang memaparkan wajah persis pemain kelahiran Brazil itu sedang menerima sebuah motosikal dan ramai mula membuat sangkaan bahawa De Paula sudah menerima majikan baharu.
Gambar tular pemain seperti De Paula.
Pendapat tersebut hadir ekoran wajah pemain yang seakan-akan De Paula itu mempunyai riak wajah sama, bertubuh sasa dan tatunya di bahagian lengan juga kelihatan persis seperti bekas penyerang Perak itu.
Difahamkan individu berkenaan adalah pemain Liga Perdana Kemboja, Marcus Haber yang beraksi bersama kelab Svay Rieng dan dalam gambar tersebut dia menerima motosikal selepas mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan negara.
Untuk pengetahuan, Liga Perdana Kemboja memberi sebuah motosikal berjenama Suzuki kepada pemain bulanan terbaik susulan syarikat Jepun itu adalah penaja utama untuk divisyen tertinggi negara itu.
Walaupun sangkaan penyokong meleset namun ramai mengharapkan agar De Paula kembali memeriahkan saingan Liga Malaysia dan seterusnya menggegarkan jaring lawan dalam saingan domestik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram