Misi balas dendam, 3 dorongan Gergasi Merah lakar kebangkitan di Stadium Sultan Mizan


  • Podium
  • Khamis, 28 Sep 2023

Selangor FC memiliki beberapa sebab utama untuk menewaskan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat. — Facebook/TerengganuFC

SELEPAS mengalami dua kekalahan di tangan pasukan Terengganu FC pada musim ini, skuad Gergasi Merah dijangka turun dengan misi membalas dendam pada pertemuan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat.

Penyingkiran Selangor FC daripada kejohanan Piala Malaysia musim ini pastinya meninggalkan luka di hati penonton yang rata-ratanya masih belum dapat melupakan detik hitam tersebut apabila tewas dengan keputusan agregat 1-3 kepada skuad Penyu.

Namun begitu, anak-anak buah Tan Cheng Hoe memiliki satu lagi peluang untuk menebus segala kekecewaan lalu dengan tempoh 90 minit terakhir di tempat lawan bakal menjadi penentu kepada segala kritikan diterima pasukan tersebut.

Desakan peminat untuk melihat kebangkitan dipamerkan barisan pemain Merah Kuning perlu segera dibuktikan pada perlawanan itu nanti meskipun bakal dibanjiri ribuan penyokong lawan.

Selain daripada misi membalas dendam, Selangor sebenarnya memiliki beberapa agenda ataupun pemangkin semangat untuk meraih kemenangan pada perlawanan ke-23 itu nanti.

Dengan segala tekanan dihadapi selepas gagal menjulang kejuaraan Piala Malaysia musim ini, berikut merupakan tiga sebab utama Selangor mampu lakar kemenangan ke atas Terengganu.

1. Genggam takhta naib juara Liga Super 2023

Berbekalkan empat lagi perlawanan sebelum kempen liga musim ini ditutup, Gergasi Merah perlu meneruskan momentum kemenangan di Stadium Sultan Mizan untuk terus mengutip tiga mata penting bagi menjarakkan kedudukan antara pasukan Kedah FC.

Selangor yang kini memperoleh 49 mata di tangga kedua liga diikuti rapat skuad Sang Kenari (44) dan segalanya boleh berubah sekiranya mereka gagal mencapai kemenangan perlawanan berikutnya.

mena

Selangor memiliki peluang cerah untuk dinobatkan selaku naib juara Liga Super musim ini. — Facebook/SelangorFC

Meskipun pasukan itu gagal meraih sebarang gelaran juara musim ini, ia sekurang-kurangnya mampu mengubati hati penonton yang seperti sudah menjangkakan perkara tersebut selepas gagal menyaingi pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) yang jauh meninggalkan pasukan lain dengan 64 mata keseluruhan.

Dalam pada itu, JDT sah muncul juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas mudah menewaskan PDRM FC 4-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Rabu.

Kini skuad kendalian Esteban Solari hanya perlu menghabiskan baki empat perlawanan iaitu menentang Kelantan United, Kuching City FC, Sri Pahang FC dan Penang FC.

2. Tutup kritikan pedas prestasi pemain

Segelintir peminat mula mempertikaikan barisan pemain Selangor musim ini yang rata-ratanya masih lagi baharu dalam karier bola sepak dan kurang dikenali.

Tidak membuat sebarang pembelian pemain bertaraf bintang seperti pasukan-pasukan lain, Gergasi Merah pada musim ini dilihat lebih mengutamakan kelibat pemain muda yang mahu dibentuk dari peringkat awal.

Situasi itu lebih parah apabila berlakunya isu disiplin atas padang melibatkan pertahanan import Yazan Al-Arab yang menendang pengadil perlawanan ketika aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Terengganu baru-baru ini.

yazan

Yazan Al-Arab mencetuskan kekecohan apabila menendang pengadil perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. — Facebook

Yazan dilihat menendang pengadil perlawanan, Mohd Hasrol Mohd Amir yang mana insiden itu tercetus selepas dia dilayangkan kad merah pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor.

Tindakannya itu bukan sahaja meletakkan dirinya dalam bahaya malah, turut mengundang seribu satu kecaman peminat terhadap Selangor yang rata-ratanya mula melabel pasukan itu tidak berdisiplin.

Justeru, bagi mengubah persepsi negatif serta kritikan tersebut, kemenangan demi kemenangan perlu ditunjukkan pasukan Selangor terutamanya ketika menentang Terengganu pada Jumaat nanti.

3. Pulih nama baik Faisal Halim

Nama Faisal Halim kian meniti di bibir penyokong Terengganu susulan pemergiannya yang meninggalkan pasukan itu sebelum ini masih belum diterima sepenuhnya penonton skuad Penyu.

Kerap terpalit dengan isu kontroversi, Faisal ataupun dikenali sebagai Mickey digelar sebagai 'budak nakal' oleh segelintir pemerhati bola sepak tanah air dengan perwatakan serta sikap dingin kerap dipamerkan di atas padang.

Insiden kelakuan Yazan Al Arab turut membabitkan penyerang kebangsaan itu apabila dia dilihat cuba membantah keputusan pengadil ekoran layangan kad merah tersebut.

faiss

Faisal Halim perlu segera bangkit dan menjaringkan gol dalam perlawanan berikutnya bagi menutup segala kritikan terhadapnya. — Facebook/SelangorFC

Ditambah pula dengan kegagalan pemain itu untuk menyumbat gol pada pertemuan lalu, ia mencetuskan kemarahan peminat yang nyata kecewa dengan ketumpulan serangan dimiliki.

Untuk rekod, bekas pemain Terengganu itu dikenakan hukuman penggantungan selama sebulan susulan komennya selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada April lalu.

Namun sejak daripada itu, prestasi pemain itu sedikit merisaukan dengan ledakannya sentiasa melewati gawang lawan dan gagal menepati sasaran seperti kebiasaannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram