KELAKUAN biadab seorang lelaki warga asing memaki dan menengking pemandu tempatan yang meletakkan kereta di depan premis restorannya mengundang perhatian ramai.
Insiden yang rupanya berlaku pada April itu kembali tular di laman media sejak Rabu serta mencetuskan kemarahan warganet yang rata-ratanya masih tidak berpuas hati dengan isu terbabit.
Video berdurasi seminit itu memaparkan perbalahan antara dua lelaki di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur.
Mendakwa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberikan kebenaran untuk dia meletakkan meja dan kerusi makan di ruangan parkir di hadapan premisnya, ia sekali gus menimbulkan pertikaian seorang lelaki tempatan di situ.
Susulan kejadian itu, DBKL difahamkan telah menyita kerusi dan meja sebuah premis yang diletakkan di lot parkir tersebut selepas menerima aduan ramai.
Pengarah Penguatkuasa DBKL, Osman Ismail dilaporkan berkata, tindakan segera diambil selepas siasatan aduan di lokasi berkenaan mengenai halangan kerusi dan meja di lot parkir.
"Hasil semakan di premis terbabit mendapati terdapat kerusi dan meja di lot petak parkir di hadapan premis berkenaan tanpa kebenaran.
"Pasukan penguatkuasa mengambil tindakan dengan menyita kerusi dan meja milik premis berkenaan, " katanya menerusi laporan Harian Metro bertarikh 10 April 2023.
Osman dilaporkan berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974.
"Berhubung lesen premis terbabit, pemeriksaan mendapati ia dimiliki sebuah syarikat yang berdaftar.
"Kita juga akan menyemak lesen berkenaan dengan Jabatan Pelesenan DBKL untuk tindakan lanjut," katanya.
Justeru, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan hal tersebut dan terus membuat laporan kepada pihak penguat kuasa sekiranya kejadian serupa berlaku. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram