[VIDEO] Rentung di majlis perkahwinan, anak meronta lepas jumpa baju hangus milik ibu


  • Benua
  • Khamis, 28 Sep 2023

Tangkap layar seorang lelaki meronta selepas kehilangan ibunya dalam tragedi kebakaran di sebuah majlis perkahwinan dekat Utara Iraq.

SUSULAN tragedi kebakaran yang berlaku di sebuah majlis perkahwinan dekat Utara Iraq pada Selasa malam, seorang lelaki gagal mengawal kesedihannya sebaik dimaklumkan kematian ibunya dalam kejadian tersebut.

Insiden itu yang mengorbankan lebih 100 orang tetamu termasuk pasangan pengantin difahamkan berlaku selepas pertunjukan bunga api diadakan.

Namun, perkongsian di laman media pada Khamis menyaksikan salah seorang mangsa yang terselamat meronta kesedihan akibat kehilangan ibu kandungnya.

Menangis sambil memegang coretan baju hangus dipercayai milik ibunya, lelaki tersebut menangis dan memanggil ibunya ketika cuba ditenangkan orang ramai.

Dalam pada itu, tragedi tersebut difahamkan berpunca selepas panel mudah terbakar di dalam bangunan itu sekali gus menyebabkan api semakin marak sebelum menyebabkan runtuhan siling.

"Kebakaran itu menyebabkan bahagian dewan runtuh akibat penggunaan bahan binaan murah dan sangat mudah terbakar. Ia runtuh dalam beberapa minit selepas kebakaran berlaku," kata pengarah pertahanan awam Iraq yang dipetik agensi berita berasingan Nina, yang dilapor BBC.

Perdana Menteri Iraq meminta pihak berkuasa menggerakkan semua usaha untuk memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas dengan insiden malang itu.

Mangsa yang cedera dihantar ke hospital di seluruh wilayah Nineveh, manakala hospital utama di Hamdaniyah, sebuah bandar di timur ibu kota wilayah Mosul, Iraq yang turut menyaksikan berpuluh orang tiba untuk menderma darah bagi membantu mangsa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram