SEORANG lelaki terpaksa berjalan kaki sambil memikul beberapa barangan selepas motosikalnya dipercayai disita penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Butterworth, Pulau Pinang pada Rabu.
Dalam satu video tular di laman media memaparkan individu bertopi keledar itu dilihat sedang berjalan kaki di bahu jalan berkenaan.
Difahamkan, satu operasi sekatan jalan raya diadakan di laluan terbabit yang sekali gus menyebabkan beberapa penunggang ditahan atas kesalahan lalu lintas.
Namun, situasi dihadapi individu tersebut nyata mengundang rasa sedih warganet yang bersimpati atas nasibnya.
"Tak faham peraturan sekarang, kalau salah keluarkan saman sudah cukup, kenapa perlu sita dan rampas motosikal orang, kesian tengok yang bekerja cari rezeki terpaksa balik berjalan kaki tengah panas," kata Zuhairi Yazid.
"Ini dah melampau, makin banyak kes motosikal disita dan semua yang terlibat kebanyakannya golongan susah yang bekerja atas jalan," ujar Zul Fadil.
"Tak nafikan mungkin abang itu pun ada kesalahan dia, tapi cukup setakat bagi saman dan amaran, ini dia kena sita lepas tu disuruh jalan kaki dengan barang penuh macam itu, kita tak tahu dia orang susah nak cari makan dengan motosikal," jelas Johari534.
Dalam pada itu, individu dalam rakaman tersebut yang dikenali sebagai CEO SANTUY tampil meluahkan kesedihannya di ruangan komen.
Jelasnya, dia pasrah dengan situasi dihadapi dan berterima kasih atas segala perkongsian dan doa daripada orang ramai.
"Cukai jalan mati, nak buat macam mana dah nak kena, terpaksa jalan kaki balik.
"Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan geng rider EX5 yang tolong tumpangkan balik, hangpa memang sempoi," katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan kejadian serupa turut berlaku di Nilai, Negeri Sembilan dan Kuala Krai, Kelantan pada minggu lalu.
Insiden terbabit melibatkan dua penunggang p-hailing yang ditahan dalam satu operasi besar-besaran oleh JPJ di kedua-dua lokasi tersebut.
Difahamkan, kesalahan dilakukan berpunca akibat tamat tempoh insurans dan cukai jalan kenderaan yang sekali gus menyebabkan motosikal mereka dirampas dan dikenakan saman.
Namun, belum ada sebarang kenyataan lanjut daripada pihak penguatkuasa JPJ berhubung isu terbaharu di Butterworth dan orang ramai dinasihatkan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram