Tiada perbincangan rombak Kabinet


  • Primer
  • Khamis, 28 Sep 2023

Anwar Ibrahim mengulas tentang kemungkinan rombakan Kabinet tidak lama lagi. — Bernama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih memikirkan tentang kemungkinan rombakan Kabinet tidak lama lagi.

"Rombakan? Saya akan fikirkan dahulu," katanya ringkas ketika ditanya pemberita mengenai kemungkinan rombakan Kabinet.

Beliau bercakap kepada media selepas majlis penutupan Sidang Kemuncak ICT Malaysia 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat Kabinet itu tertumpu kepada perbincangan dan mencari penyelesaian kepada isu harga beras dan bekalan.

Tiada perbincangan mengenai rombakan Kabinet seperti yang dikatakan dalam mesyuarat pada Rabu, katanya.

"Saya difahamkan bahawa Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengadakan sidang media kemudian untuk mengumumkan butiran beberapa keputusan yang dibuat berhubung isu tersebut. Kita tunggu itu," katanya di Putrajaya pada Rabu, lapor Bernama.

The Star sebelum ini melaporkan bahawa perbincangan mengenai rombakan Kabinet semakin hangat diperkatakan dan orang ramai percaya bahawa perubahan barisan menteri akan berlaku kemungkinan pada akhir September ataupun awal Oktober 2023.

Selain itu, pentadbiran Anwar juga dilaporkan akan berdepan rombakan Kabinet dengan beberapa menteri dijangka digugurkan selepas pilihan raya kecil Pelangai pada 7 Oktober.

Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mengembalikan semula Akta Antiberita Palsu 2018.

"Setakat ini, belum ada perbincangan mengenai rancangan untuk mengembalikan semula akta tersebut, jadi ia bukan isu penting.

"Sebelum ini, saya dan timbalan saya (Teo Nie Ching) ada menyebut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sedang dikaji semula, tetapi kami belum bersedia untuk membawanya ke Parlimen kerana proses penglibatan masih berjalan," katanya.

Akta Antiberita Palsu 2018 telah dibentangkan di Parlimen pada 27 Mac 2018 dan diluluskan pada 2 April tahun yang sama.

Akta tersebut bagaimanapun telah dimansuhkan pada 19 Disember 2019, selaras dengan komitmen kerajaan ketika itu untuk memansuhkan undang-undang yang menindas dan memastikan media mempunyai kebebasan untuk melakukan semakan dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, mulai 1 Oktober ini, satu segmen khas berjudul Biar Betul! akan diperkenalkan dan disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam usaha menentang dan membendung penyebaran berita palsu dan salah maklumat dalam kalangan orang ramai.

Tambahnya, segmen kurang seminit itu akan disiarkan selepas slot Berita Kanta 744 di TV1 (7.44 malam), di saluran Berita RTM dan juga akan diulang di semua platform media sosial RTM dan saluran radio RTM. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram