Bendung isu Islamophobia antara 5 'outcome' baharu PMX bersama pemimpin negara di New York


  • Massa
  • Khamis, 28 Sep 2023

Anwar Ibrahim semasa berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, ke-78 di New York, Amerika Syarikat.

KEMUNCULAN pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini mencipta sejarah baharu buat dirinya serta masyarakat Malaysia.

Beliau yang diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, telah disambut Menteri Luar Datuk Seri, Dr Zambry Abd Kadir dan Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad.

Sepanjang beliau di sana, Anwar telah bertemu beberapa pemimpin dari lima buah negara iaitu Turkiye, Iran, Sri Lanka, Thailand dan Iraq dengan setiap daripadanya mempunyai hubungan yang baik bersama Malaysia.

Hasil daripada pertemuan tersebut, beliau membawa pulang 1,001 berita baik dan hasil kerjasama yang mampu mengukuhkan lagi ikatan serta kedudukan Malaysia di mata dunia.

Berikut merupakan lima pembaharuan dan kata sepakat dicapai sebaik Anwar pulang ke tanah air.

erdogan

1. Turkiye - Presiden Recep Tayyip Erdogan

Malaysia dan Turkiye mencapai kesepakatan untuk menangani ancaman Islamofobia menerusi pelbagai langkah yang akan dilaksanakan.

Justeru, Anwar Ibrahim dan Presiden Recep Tayyip Erdogan bersetuju mempertingkat usaha kerjasama dan strategi mengekang gerakan membenci Islam oleh pihak tertentu yang berpusat di serata dunia.

Antara isu yang akan diberi penekanan ialah usaha untuk menangani ancaman Islamofobia.

Anwar dalam pertemuan itu turut menjelaskan, terdapat beberapa persidangan dan penerbitan dijalankan untuk menjawab segala prasangka dan sikap melampau terhadap Islam kepada masyarakat dunia.

Antaranya, Malaysia telah menerbitkan lebih 100,000 al-Quran yang diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

Sebanyak 15,000 naskhah terjemahan bahasa Sweden telah dihantar ke negara berkenaan dan ia turut disebarkan ke pusat pengajian, universiti dan masjid di Australia, Amerika Syarikat dan negara lain.

iran

2. Iran - Presiden Seyed Ebrahim Raisi

Malaysia akan memperkukuh hubungan dua hala dengan Iran dalam pelbagai bidang demi manfaat kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hasrat itu dinyatakan beliau dalam pertemuan bersama Presiden Iran, Seyed Ebrahim Raisi di New York yang dikongsi menerusi catatan di Facebook peribadinya.

"Dalam pertemuan ini, saya nyatakan hasrat Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Iran melalui kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, keterjaminan makanan, sains dan teknologi serta menerokai potensi kerjasama baharu," katanya.

Menurut Anwar, dalam pertemuan itu Malaysia turut mengulangi komitmen untuk mengadakan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) dan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Ekonomi (JEC) antara kedua-dua negara bagi menghalusi semua potensi skop kerjasama.

"Semoga hubungan Malaysia dan Iran akan terus diperkukuh demi manfaat bersama, Insya-ALLAH," katanya.

iraq

3. Iraq - Perdana Menteri Mohammed Shia’ Al Sudani

Kerajaan Malaysia membuat keputusan untuk membuka semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad, Iraq selepas lebih 20 tahun ditutup bermula Mac 2003 ekoran pergolakan dalaman di negara itu.

Pertemuan itu turut membawa kepada persidangan JCM ke-9 antara Malaysia dan Iraq selepas sekian lama ia telah tertangguh.

Ia akan menjadi platform untuk membincangkan serta merangka skop kerjasama lebih mendalam antara Malaysia dan Iraq dalam pelbagai sektor terutamanya sektor ekonomi, pendidikan, hubungan udara dan pelancongan, selain meneroka peluang kerjasama baharu.

sri

4. Sri Lanka - Presiden Lanka Ranil Wickremesinghe

Hubungan dua hala antara kedua-dua negara akan diperkukuh dalam pelbagai sektor di masa akan datang demi faedah bersama.

Ini termasuk pertukaran lawatan di peringkat tertinggi, sektor perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan dan kebudayaan serta pembangunan sumber manusia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, pertemuan itu juga memberi peluang kepada kedua-dua negara meneroka bidang kerjasama baharu dalam usaha memperkukuh kerjasama sedia ada.

"Semoga kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Sri Lanka," katanya menerusi kenyataan Facebook.

thai

5. Thailand - Perdana Menteri Srettha Thavisin

Ini merupakan pertemuan rasmi pertama Anwar dengan Srettha Thavisin sejak taikun hartanah Thailand itu dilantik sebagai Perdana Menteri pada bulan lepas.

Hasil daripada perjumpaan tersebut, ia memberikan peluang kepada kedua-dua negara untuk mengukuhkan kerjasama sedia ada sambil meneroka pelbagai bentuk kerjasama bahari bagi meningkatkan hubungan dua hala.

Mereka juga berbincang mengenai pelbagai isu termasuk sempadan, proses damai di Selatan Thailand dan isu-isu serantau lain yang mempunyai kepentingan bersama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram