TERENGGANU FC (TFC) membuktikan bahawa mereka antara pasukan gergasi di tanah air apabila merekodkan 12 perlawanan tanpa tewas bagi setiap kejohanan yang disertai termasuk aksi pembukaan pada Piala AFC baru-baru ini.
Skuad Sang Penyu menampilkan persembahan cemerlang menentang wakil dari Australia, Central Coast Mariners apabil meraih keputusan 1-0 ketika aksi pertama di i Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada 20 September lalu.
Kemenangan tersebut berterusan di saingan Piala Malaysia apabila anak-anak buah Tomislav Steinbruckner berhasil menempah slot separuh akhir ke peringkat tertinggi selepas menewaskan Selangor FC 3-1 secara agregat pada Ahad.
Fakta menarik mengenai dua perlawanan tersebut, penjaga gol skuad Sang Penyu, Suhaimi Husin memainkan watak utama dengan memberikan persembahan cemerlang untuk memastikan kemenangan menjadi milik Terengganu.
Malah, aksi penjaga gol berusia 29 tahun itu menyelamatkan serangan dan percubaan pemain Terengganu dalam perlawanan timbal balik suku akhir Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut menjadikan Suhaimi sebagai pemain terbaik perlawanan.
Mengulas mengenai persembahannya yang mendapat pujian penyokong tempatan, penjaga gawang kelahiran Terengganu itu kekal merendah diri dan mengakui banyak lagi perkara perlu diperbaikinya.
Tommy berharap agar Suhaimi mendapat peluang beraksi bersama Harimau Malaya. — Faecbook/TFC
Selain itu, Suhaimi juga tidak menyorok perasaannya ingin berhasrat untuk menyarung jersi kebaangsaan pada suatu hari nanti dan sekali gus dapat menunaikan impian pengendalinya, Tomislav atau lebih mesra dengan sapaan Tommy.
Dalam sidang media selepas perlawanan suku akhir Piala Malaysia di MBPJ, jurulatih dari Croatia itu akui bahawa penjaga gol berkualiti Suhaimi layak untuk mendapat panggilan kebangsaan di bawah kendalian Kim Pan-gon.
"Saya berasa tidak lagi berada dalam prestasi terbaik, banyak lagi yang perlu saya perbaiki. Saya tidak letak harapan tinggi pada coach, terpulang kepada jurulatih (Tomislav). Kalau nak letak saya, saya akan tunjukkan yang terbaik.
"Saya akan cuba buat yang terbaik untuk membuktikan serta merealisasikan apa yang dikatakan oleh jurulatih saya itu,” katanya kepada Majoriti ketika ditemui selepas perlawanan di MBPJ pada Ahad.
Untuk rekod, sepanjang bergelar sebagai penjaga gol profesional, pemain dengan ketinggian 1.79 meter itu masih tidak mendapat peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya walaupun sudah menarik perhatian sejak musim 2021.
Kesebelasan utama skuad Sang Penyu menentang Gergasi Merah pada Ahad. — Faecbook/TFC
Sementara itu, Suhaimi turut berkongsi mengenai pesanannnya terhadap rakan sepasukan di bahagian pertahanan ketika Selangor meletakkan pertahanan tengah, Safuwan Baharudin di bahagian depan.
"Saya percaya dengan pertahanan-pertahanan kami, sekarang ni mereka buktikan yang mereka mampu bermain. Separuh masa pertama memang diakui agak struggle untuk Terengganu.
"Separuh masa kedua Selangor banyak serang dari bawah hingga ke atas. Mereka siap guna Safuwan, jadi saya cakap dengan pertahanan kena tenang. Tidak boleh tergopoh-gapah," jelasnya.
Di separuh akhir nanti, Terengganu FC akan berdepan Kuala Lumpur City FC manakala Johor Darul Takzim bakal menanti pemenang antara Perak FC dan Sabah FC dalam satu lagi aksi suku akhir kedua pada Isnin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram