TERENGGANU FC (TFC) akan berdepan cabaran berbeza dan pastinya satu tugas sukar apabila bakal bertemu kembali pasukan Selangor FC dalam aksi timbal balik suku akhir Piala Malaysia 2023 pada 24 September nanti.
Dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, TFC mengejutkan penyokong tanah air apabila menewaskan Selangor FC dengan kemenangan 2-0 di laman sendiri pada Sabtu.
Walaupun mempunyai jadual padat dengan kejohanan Piala AFC 2023, tentunya Sang Penyu mempunyai persediaan yang lebih untuk mengharungi perlawanan akan datang.
Pastinya penyokong berasakan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner atau mesra dengan panggilan Tomi itu perlu lebih berhati-hati dengan taktikal yang akan diterapkan oleh pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe berikutan mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri nanti.
Penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville. — Facebook/Selangorfc
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga taktikal Cheng Hoe yang perlu diawasi oleh skuad Sang Penyu.
1) Awasi penjaga gol
Walaupun tidak memiliki ketinggian yang ideal sebagai penjaga gol namun ia tidak mematahkan semangat Samuel Somerville untuk terus menampilkan prestasi cemerlang.
Meskipun hanya memiliki ketinggian 1.76 meter, pengendali Gergasi Merah dilihat gemar menggunakan khidmat penjaga gol kacukan itu dalam beberapa perlawanan sejak kebelakangan ini untuk menggantikan Khairul Azhan Khalid.
Berikutan itu, Tomi perlu waspada dengan ketangkasan Somerville yang juga bekas penjaga gol, Johor Darul Takzim (JDT).
Tentunya, pengalaman yang diperolehi ketika masih berada dalam skuad Harimau Selatan akan diterapkan oleh benteng terakhir Gergasi Merah itu.
2) Waspada dengan Ayron del Valle
Siapa tidak kenal dengan penyerang berbisa Selangor FC, Ayron del Valle yang dilihat sering melakukan hantaran-hantaran berbahaya ke pintu gawang lawan.
Seperti yang diketahui, penyerang berusia 34 tahun itu antara pencabar Kasut Emas Liga Super 2023 selepas tampil sebagai penjaring terbanyak setakat ini iaitu 20 jaringan selepas 22 perlawanan liga.
Bukan itu sahaja, jika melihat kepada statistik, penyerang kelahiran Colombia itu sudah merekodkan 1742,40 minit permainan.
Sudah tentu Ayron bakal menjadi pilihan utama Cheng Hoe dan antara ancaman kepada barisan benteng pertahanan Sang Penyu dalam perlawanan nanti.
3) Memperolehi 168 corner
Dalam 22 perlawanan Liga Malaysia berlangsung, Selangor merekodkan 168 tendangan penjuru yang diberikan oleh pengadil perlawanan.
Dalam pada itu, Tomi perlu waspada dengan taktikal tersebut kerana ia merupakan satu kelebihan yang tidak akan disia-siakan oleh Gergasi Merah.
Kelebihan itu perlu diawasi oleh Tomi kerana jika sedikit kesilapan dilakukan oleh benteng pertahanan TFC tentu akan menghadiahkan jaringan kepada pasukan lawan.
Bukan itu sahaja, Gergasi Merah memiliki ramai pemain yang mempunyai kelebihan fizikal seperti Sharul Nazeem dan Harith Haiqal.
Difahamkan,kedua-dua pemain itu tidak pernah gagal untuk mencipta jaringan sekiranya diberi peluang untuk mengambil sepakan penjuru.
Malah, Tomi juga sepatutnya mengawasi Yohandry Orozco dan Faisal Halim yang memiliki kelebihan menghantar hantaran berbahaya ke arah pintu gol sekiranya mengambil sepakan penjuru tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram