Habib akui bergelut tapi bersyukur Sang Penyu kembali bangkit


  • Podium
  • Isnin, 25 Sep 2023

Habib memikul tanggungjawab berat buat skuad Sang Penyu apabila dilantik sebagai kapten sejak awal musim lalu. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC sekali lagi membuktikan kebolehan mereka musim ini apabila melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia setelah menyingkirkan Selangor FC pada Ahad.

Meskipun hanya menamatkan aksi di Stadium MBPJ, Selangor dengan keputusan seri hasil jaringan Ivan Mamut dan dibalas gol daripada Safuwan Baharuddin, ia sudah cukup buat mereka apabila memperolehi agregat 3-1 secara keseluruhan.

Pencapaian berkenaan merupakan satu berita baik buat pasukan Pantai Timur itu setelah memulakan musim 2023 dengan prestasi yang terumbang-ambing.

Masalah itu menyebabkan sebahagian besar penyokong Terengganu FC mendesak agar pihak pengurusan membuat perubahan segera dengan menggantikan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner.

Namun, dengan kesabaran serta semangat yang dipamerkan, skuad Sang Penyu kini sudah menempah tiket ke separuh akhir Piala Malaysia buat tahun kedua berturut-turut.

Tidak cukup dengan itu, kemaraan berkenaan juga menyaksikan Terengganu FC berjaya melayakkan diri dalam dua semi final setelah juga melakukannya ketika dalam Piala FA sebelum ini.

382459861_300247562716685_7889175514970417611_n (1)

Jaringan Mamut (tengah) sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Kejayaan itu sudah semestinya diraikan rata-rata pemain pasukan terbabit yang cukup bersemangat untuk meneruskan prestasi cemerlang diperolehi mereka.

Perasaan berkenaan turut dirasai kapten skuad, Habib Haroon apabila dia melihat terdapatnya peningkatan ketara yang dipamerkan berbanding permulaan musim.

"Untuk awal musim lalu, kami berasakan bahawa pasukan tidak berada dalam keadaan terbaik dan kami membawa perubahan lebih baik.

"Dan akhirnya, kita dapat lihat bahawa kami mendapatkan semula skuad yang terbaik dan saya percaya kita adalah skuad yang lebih hebat ketika ini," katanya kepada Majoriti selepas perlawanan pada Ahad.

Pemain kelahiran Bahrain itu sekali lagi menjadi nadi utama buat Terengganu FC musim ini apabila sudah merekodkan 20 penampilan musim ini dengan 16 daripadanya hadir dalam saingan Liga Super.

Kini, dia yang baru sahaja berusia 22 tahun sudah tentu diharapkan akan terus menjadi tunjang utama skuad Sang Penyu dalam usaha mereka menamatkan musim dengan kejayaan.

380890187_298137529594355_5398377101517340747_n (1)

Habib (tengah) turut memainkan peranan penting ketika kemenangan skuad Sang Penyu dalam aksi Piala AFC. Facebook/Terengganu FC

Jelasnya lagi, tiada sasaran khas yang ditetapkan dirinya sebagai seorang kapten apabila dia mahu Terengganu FC dapat beraksi dengan baik dalam kesemua pertandingan.

"Perlawanan ini (menentang Selangor FC) adalah cukup penting buat kami kerana ia memberikan kami lebih keyakinan untuk beraksi dengan lebih baik.

"Kami akan mengatakan kepada diri kami bahawa kami mampu melakukannya melihat kepada cara kami beraksi. Jadi, insya-ALLAH, kami akan dapatkan kejayaan itu," katanya lagi.

Ketika ini, skuad Sang Penyu masih berentap dalam tiga kejohanan, iaitu Liga Super, Piala Malaysia dan Piala AFC dengan kesemuanya memiliki satu objektif penting buat mereka.

Dalam peringkat separuh akhir Piala Malaysia, pasukan kendalian Tomislav bakal berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC yang mengesahkan tiket apabila menyingkirkan Sri Pahang FC pada Ahad.

Di pentas Asia pula, Terengganu FC dilihat mempunyai peluang cerah untuk memastikan kemaraan daripada peringkat kumpulan setelah meraih kemenangan dalam aksi pembukaan menenteng Central Coast Mariners. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram