Cemerlang di pentas Asia, Shahrul Nizam terus disamakan 2 legenda Terengganu


  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Nijey menjadi nadi utama buat skuad Sang Penyu ketika membantu menewaskan Central Coast Mariners. — Facebook/Terengganu FC

TERENGGANU FC memulakan kempen Piala AFC 2023 mereka dengan cukup cemerlang setelah menewaskan naib johan liga utama Australia, Central Coast Mariners pada Rabu.

Jaringan sendiri daripada Nathan Paull yang membias hantaran lintang Nurillo Tukhtasinov pada masa tambahan sudah cukup untuk menghadiahkan tiga mata buat skuad Sang Penyu.

Kemenangan itu diraikan dengan meriah ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu yang tidak mahu terlepas perlawanan getir terbabit.

Kehadiran mereka tersebut bagaimanapun tidak disia-siakan apabila anak-anak buah Tomislav Steinbruckner menampilkan aksi cukup baik di laman sendiri.

Usaha yang dipamerkan Nor Hakim Hassan serta Nurillo sememangnya sukar dipersoalkan dengan kedua-dua pemain tersebut boleh dianggap sebagai nadi serangan Terengganu FC.

381160401_298145169593591_6354128983565750151_n

Poster yang dihasilkan khas untuk menghargai sumbangan Shahrul Nizam.Facebook/Terengganu FC

Selain itu, kecekapan penjaga gol, Suhaimi Husin juga mencuri perhatian setelah dia berkali-kali menepis percubaan pemain kelab Australia terbabit.

Namun, bek tengah Sang Penyu, Shahrul Nizam Ros Hasni merupakan nama yang paling sesuai untuk diangkat sebagai pemain terbaik dalam aksi bertenaga itu.

Selain cekap dalam mengendalikan barisan pertahanan, anak jati Bachok, Kelantan berkenaan juga menampilkan kualitinya ketika mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya pada minit-minit akhir permainan.

Meskipun tidak turun dengan peranan sebagai seorang kapten, pemain terbabit menunjukkan tahap kepimpinan cukup tinggi dengan kelantangannya didengari sepanjang keberadannya di atas padang.

Jadi, untuk mengiktiraf sumbangannya itu, laman media sosial rasmi Terengganu FC bertindak memuat naik satu hantaran yang dikhaskan buat Shahrul Nizam.

44723316_10155961302977759_5616182300917104640_n

Zulharisam menjadi watak penting ketika kejayaan Sang Penyu dalam saingan Piala Malaysia 2001.

"Telah lama kita menantikan kehadiran pemain berkarakter di barisan pertahanan tengah pasukan. Sentiasa bersedia untuk diturunkan, sentiasa ingin beraksi, sentiasa menunjukkan yang beliau akan berikan segalanya untuk Terengganu.

"Jika dahulu kita pernah ada Zulharisam Awang, kita juga pernah ada Mohd Marzuki Yusof. Kini, kita ada Shahrul Nizam Ros Hasni," tulisnya.

Penghargaan itu sememangnya satu tahap pujian tertinggi buatnya yang sering dipandang rendah meskipun kerap mengerah keringat buat pasukan Pantai Timur berkenaan.

Zulharisam dan Marzuki sebelum ini pernah menjadi tonggak pertahanan buat skuad Sang Penyu dengan masing-masing pernah diberikan peranan kapten.

marzuki (3)

Marzuki boleh dianggap sebagai antara legenda terbaik skuad Sang Penyu.

Bagi Zulharisam, kebolehannya sebagai seorang bek tengah cukup dipandang tinggi setelah membantu Terengganu FA muncul juara Piala Malaysia 2001.

Sedekad kemudiannya, giliran Marzuki menampilkan peranannya di benteng pertahanan apabila menjuarai Piala FA 2011 bersama kelab Pantai Timur itu.

Ia merupakan kejayaan kali terakhir buat Terengganu FC yang sehingga kini masih menunggu untuk menamatkan penantian kejuaraan yang dihadapi buat 12 tahun.

Namun, dengan kehadiran skuad yang lebih mantap, terdapat kemungkinan skuad kendalian Tomislav mampu mencapai kejayaan apabila mereka masih berentap dalam Piala Malaysia dan Piala AFC ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram