Kutip 3 mata, tapi 2 wakil negara di Piala AFC masih ketinggalan di belakang kelab Kemboja


  • Podium
  • Sabtu, 23 Sep 2023

Penyokong bola sepak tanah air sememangnya mengharapkan kemaraan bergaya mampu diperolehi kedua-dua pasukan Liga Super ini. — Facebook/Terengganu FC

DUA wakil negara dalam Piala AFC 2023/24, Sabah FC dan Terengganu FC memulakan kempen masing-masing dengan satu keputusan cukup positif.

Skuad Sang Penyu yang menerima kunjungan kelab Australia, Central Coast Mariners meraih kemenangan tipis 1-0 hasil gol sendiri daripada Nathan Paull di laman sendiri.

Tiga mata juga berjaya dikutip Sabah FC apabila mereka menerima kunjungan pasukan Singapura, Hougang United dalam perlawanan pada Khamis lalu.

Meskipun hujan turun dengan lebat di Stadium Likas, Sabah, anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan 3-1 hasil dua gol daripada Darren Lok dan satu daripada Gabriel Peres.

Kedua-dua keputusan berkenaan pastinya cukup diraikan penyokong bola sepak tempatan yang melihat kelab-kelab Liga Super sudah setanding dengan pasukan di Asia Tenggara.

WhatsApp Image 2023-09-23 at 15.52.54

Terengganu FC (kiri) dan Sabah FC merupakan dua pasukan Liga Super yang beraksi dalam Piala AFC musim ini.

Namun, kemenangan berkenaan tidak cukup untuk meletakkan mereka di tangga teratas dalam kumpulan masing-masing berdasarkan perbezaan jaringan.

Sabah FC yang berada di Kumpulan H hanya menduduki tangga kedua memandangkan kedudukan pertama diduduki pasukan Vietnam, Haiphong FC yang menundukkan lawan dari Indonesia, PSM Makassar dengan keputusan 3-0.

Bagi Terengganu FC pula, kemenangan bermakna itu juga tidak cukup untuk meletakkan mereka di tangga teratas apabila kedudukan itu dimiliki Bali United yang menewaskan wakil Filipina, Stallion United.

Situasi berkenaan memberikan ancaman buat kedua-dua pasukan negara itu untuk layak ke peringkat seterusnya menurut format yang diguna pakai dalam Piala AFC.

381978097_289604503839543_5285585032158156151_n

Kedudukan Sabah FC dan Terengganu FC dalam carta naib juara kumpulan setakat ini. Facebook/Asiasport Cambodia

Berdasarkan peraturan, hanya satu daripada tiga naib johan akan melepasi peringkat kumpulan dengan slot berkenaan kini dimiliki kelab Kemboja, Phnom Penh Crown yang memiliki perbezaan gol lebih baik.

Meskipun baru sahaja mengharungi satu perlawanan, kedudukan terbabit memberi gambaran awal bahawa Sabah FC serta Terengganu FC perlu menamatkan saingan kumpulan di tangga teratas.

Selepas ini, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner bakal bertandang ke Stadium Kapten I Wayan Dipta, Indonesia pada 4 Oktober untuk perlawanan kedua menentang Bali United.

Pada hari berikutnya, skuad Sang Badak pula akan ke venue yang sama untuk berdepan PSM Makassar dalam usaha mereka meraih kemenangan kedua dalam peringkat kumpulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram