TERENGGANU FC (TFC) hanya selangkah untuk ke pusingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini. Memiliki kelebihan agregat dua gol, skuad Sang Penyu masih perlu memberi segala kudrat dalam aksi suku akhir kedua menentang Selangor FC pada Ahad.
Meskipun ada yang mengatakan bahawa kelab Pantai Timur itu hanya perlu bermain corak bertahan berikutan dua jaringan ketika aksi suku akhir pertama di Gong Badak sudah menjadi kelebihan, namun TFC nampaknya hadir dengan taktikal berbeza.
Berdasarkan laporan media, ketua jurulatih TFC, Tomislav Steinbruckner mendedahkan bakal menerapkan corak permainan lebih agresif bagi memastikan slot semi final tersebut menjadi milik mereka dan bukannya pasukan tuan rumah.
Demikian itu, ramai penyokong tanah air menjangkakan ia akan menjadi pertarungan sengit dengan kedua-dua pasukan akan turun dengan taktikal masing-masing yang boleh menjadi senjata mereka menjerat pasukan lawan.
Steinbruckner bakal menerapkan corak permainan lebih agresif untuk aksi menentang Gergasi Merah. — Facebook/TFC
Menjelang sehari sebelum perlawanan tersebut, timbul kebimbangan dalam kalangan penyokong skuad Penyu apabila melihat tiada kelibat dua tonggak utama iaitu Azam Azmi Murad dan Sony Norde semasa ketibaan TFC di Selangor pada Sabtu.
Walaupun tiada kenyataan rasmi mengenai bek kanan dan penyerang sayap import itu, namun ramai penyokong berasakan bahawa mereka berdua direhatkan daripada aksi menentang Selangor.
Mana tidaknya, kedua-dua tonggak utama itu masih belum mendapat rehat secukupnya kerana jadual padat perlawanan dan terbaharu mereka baharu sahaja bermain untuk 90 minit permainan menentang wakil Australia, Central Coast Mariners.
"Tengok pada gambar memang betul sungguh Azam Azmi dan Sony Norde terlepas perlawanan ini. Kehilangan besar untuk aksi besar. Kelebihan untuk Selangor FC," kata penyokong TFC, Kitman News.
"Sudah, mana pula Azam Azmi dengan Sony ini, susah juga mereka ini tiada," tambah penyokong skuad Sang Penyu, Nasir Mark.
Nik Sharif mula menjadi pemain tetap TFC pada awal musim ini. — Facebook/TFC
Tidak dapat dinafikan dua tonggak itu merupakan tonggak utama di posisi mereka namun jangan dilupakan Terengganu mempunyai ramai pemain berbakat yang boleh menggantikan tempat Azam Azmi dan Sony.
Azam Azmi yang baru berusia 22 tahun merupakan bek kanan utama Terengganu dalam tempoh dua musim ini tetapi sekiranya dia direhatkan untuk aksi menentang Selangor, Safwan Mazlan adalah calon sesuai mengisi posisinya.
Walaupun Safwan banyak beraksi sebagai bek tengah namun bintang muda berusia 21 tahun itu masih ada kelebihan untuk menjadi pertahanan kanan pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Manakala, penyerang sayap tempatan, Nik Sharif Haseefy sesuai untuk mengambil sementara posisi Sony dan dia diyakini mampu menewaskan Selangor yang juga bekas kelabnya itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram