PEMINAT sukan e-sports di negara ini, terutamanya bagi permainan PUBG pastinya cukup sinonim dengan nama pasukan Yoodo Gank yang pernah memeriahkan permainan video berkenaan sebelum ini.
Manakan tidak, pasukan yang pernah dibintangi nama-nama besar, seperti Aiman Amirul Said (ManParang), Ahmad Fuad Razali (Fredo) dan Abdul Azim Ikromi (Draxx) itu pernah digeruni satu ketika dahulu.
Pasukan yang pada awalnya dikenali sebagai GANK.FTY terbabit mula dikenali ramai setelah menerima penajaan daripada syarikat telekomunikasi itu pada 2018.
Sejak itu, mereka sudah tidak menoleh ke belakang apabila terus membawa masuk pemain ternama dalam bidang e-sports dalam usaha meraih lebih banyak pencapaian.
Titik peluh pasukan terbabit akhirnya membuahkan hasil apabila mereka dinobatkan juara Liga Pro PUBG Mobile (PMPL) peringkat Asia Tenggara Musim 1 pada 2020.
Kejayaan tersebut membolehkan mereka diletakkan dalam Malaysia Book of Records setelah menjadi pasukan tanah air pertama yang memenanginya.
Barisan pemain dan staf kejurulatihan Yoodo Gank pada 2018.
Tetapi, pada Julai 2021, Yoodo Gank akhirnya bubar setelah kontrak penajaan antara kedua-dua pihak tidak disambung dengan masing-masing membawa haluan tersendiri.
Berita itu pastinya amat mengecewakan penyokong yang sehingga hari ini sukar untuk melupakan tempoh kegemilangan yang pernah diraih mereka.
Menceritakan akan tahun-tahun kejayaan itu, Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun berpendapat kejayaan pasukan berkenaan di peringkat rantau Asia Tenggara tiga tahun lalu.
"Saat yang paling kami banggakan, sudah tentu ketika kami raih kemenangan dalam PMPL SEA 2020 kerana anda menjadi pasukan terbaik di Asia Tenggara.
"Kami perlu berdepan lawan dari Indonesia, Malaysia, Thailand dan lain-lain. Jadi, untuk memenanginya bukanlah hal yang mudah kerana anda perlu berdepan pelbagai peringkat terlebih dahulu," katanya kepada Majoriti.
Tuck Mun (kiri) dan Kevin Wong merupakan antara tonggak buat Yoodo Gank sebelum ini.
Berdasarkan perkongsiannya, kerjasama antara kedua-dua pihak sebelum ini tercetus hasil perjumpaan tidak formal antaranya dan ManParang ketika GANK.FTY muncul sebagai juara Kejohanan Kebangsaan PUBG Mobile Malaysia 2018.
Kini, dengan masing-masing sudah membawa haluan tersendiri, Tuck Mun masih bergiat secara aktif dalam sukan itu di bawah nama Yoodo Alliance.
27 Ogos lalu, mereka sempat kembali mengadakan pertemuan semula dalam satu perlawanan di PUBG Mobile Super League (PMSL) yang diadakan di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur.
Perjumpaan itu menyaksikan empat pemain ketika PMPL SEA 2020 kembali berada dalam satu pasukan, iaitu ManParang, Fredo, Draxx dan Izzrudin Hashim (Jumper).
Ribuan peminat sukan berkenaan hadir untuk menyaksikan pertemuan semula tersebut dengan orang ramai pastinya amat merindui gandingan antara satu sama lain.
Empat bekas pemain Yoodo Gank sempat bertemu semula 27 Ogos lalu.
Ketika ditanya mengenai memori yang sukar dilupakan pula, Tuck Mun berkata, kesan daripada kecemerlangan Yoodo Gank terhadap landskap PUBG secara profesional merupakan sesuatu sukar dipandang enteng.
"Pada saya, sesuatu cukup menarik adalah Yoodo merupakan organisasi yang sudah terlibat dalam permainan ini sejak awal lagi.
"Tetapi, kita boleh tengok bagaimana Yoodo Gank sudah memberi impak secara keseluruhan kerana kami mungkin menjadi inspirasi terhadap pemain dari generasi baharu," katanya.
Selain itu, bekas pengurus Yoodo Gank, Kevin Wong turut sempat berkongsi pandangannya mengenai kejayaan pasukannya sebelum ini yang memiliki sejarah tersendiri dalam bidang permainan video atas talian.
Baginya, dia juga tidak menafikan bahawa kejayaan dalam PMPL SEA 2020 merupakan pencapaian tertinggi buat mereka kerana kejayaan itu diabadikan dalam Malaysia Book of Record.
"Pada saya, pencapaian untuk berada dalam buku sejarah negara itu agak mengejutkan kerana kami merupakan pasukan e-sport pertama di Malaysia meraih momen sebegitu," katanya juga kepada Majoriti.
Yoodo Gank bersama trofi PMPL SEA 2020 yang dibawa pulang mereka. — Facebook/1Play
Sejak kejayaan Yoodo Gank pada musim pertama PMPL, hanya Team Secrets mampu mengulangi pencapaian tersebut apabila dinobatkan sebagai juara ketika edisi keempat pada Disember 2021.
Kini, Kevin Wong yang dikenali sebagai Kevo juga masih bergiat aktif dalam sukan PUBG dengan dia kini merupakan Pengarah Urusan SEM9.
Pasukan berkenaan ditubuhkan pada Ogos 2021 setelah GANK mengambil keputusan bekerjasama bersama SEAGM setelah berpisah dengan Yoodo.
Kedua-dua Yoodo Alliance dan SEM9 sebelum ini berentap dalam PMPL SEA Fall 2023 yang berakhir 27 Ogos lalu dengan SEM9 menamatkan saingan di tangga keenam sementara Yoodo Alliance berada di kedudukan kesembilan.
Jelas Kevin lagi, meskipun masing-masing bersaing dalam kejohanan baru-baru ini, mereka tidak melihat terdapatnya persaingan tidak sihat antara satu sama lain.
"Kami menjalinkan perasaan cukup profesional kerana walaupun sudah mengambil haluan tersendiri, kami masih memiliki hubungan persahabatan amat baik.
"Meskipun kini kami bersaing, kami tidak melihatnya sebagai satu permusuhan kerana kami semua adalah kawan dengan pemain juga berpendapat sedemikian," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram