POTENSI skuad Sabah selaku pencabar Liga Malaysia (Liga M) musim ini tidak perlu dipertikaikan lagi dengan persembahan dan prestasi semasa kelab bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu cukup memuaskan.
Menduduki tangga keempat carta Liga Super, menyaksikan Sabah FC berjaya mengutip 42 mata dalam 22 penampilan pada setakat ini.
Selain itu, kemenangan diraih pada perlawanan pembukaan Piala AFC menentang Hougang United FC pada Khamis menyaksikan betapa skuad The Rhinos sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi cabaran di peringkat tertinggi.
Dengan barisan pemain yang cukup berpengalaman dan berbisa di atas padang, Sabah juga mempunyai satu senjata pemusnah yang ditakuti pasukan lawan.
Situasi bola mati merupakan detik yang paling digeruni pertahanan lawan dengan barisan pemain Sabah dilihat sentiasa memanfaatkan peluang terhidang sekiranya berdepan situasi tersebut.
Berikut merupakan tiga kelebihan 'set piece' dimiliki skuad The Rhinos yang perlu diberikan perhatian pasukan lawan.
1. Pakar sepakan percuma
Sabah memiliki kelebihan tersendiri apabila memiliki tiga pemain yang berpotensi untuk merancang 'set piece' menerusi sepakan percuma.
Saddil Ramdani, Amri Yahyah dan Park Tae-su merupakan pakar sepakan percuma di Sabah dengan setiap daripada tendangan mereka sentiasa memberikan ancaman kepada jaring lawan.
Saddil Ramdani merupakan antara pemain yang memiliki kepakaran untuk mengambil sepakan percuma. — Facebook/SabahFC
Bijak mencari ruang tersembunyi, kefahaman dimiliki pemain Sabah cukup tajam dengan sepakan percuma diambil ketiga-tiga pemain itu akan disambut baik oleh rakan sepasukan untuk menghasilkan gol.
Terbaharu, 'set piece' sepakan sudut Saddil Ramdani berjaya menewaskan penjaga gawang Hougang United di Piala AFC apabila ditanduk kemas Darren Lok pada minit ke 62 perlawanan.
Dalam aksi pembuka tirai Kumpulan H saingan Piala AFC itu, Sabah berjaya menewaskan kelab Singapura tersebut dengan keputusan 3-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
2. Pemain sasaran (target man)
Faktor ketinggian merupakan penentu dalam sepakan percuma dengan beberapa pemain di Sabah memiliki tiga individu yang sentiasa menantikan peluang untuk menjaringkan gol menerusi tandukan.
Darren Lok, Telmo Castanheira dan Irfan Zakaria memiliki kelebihan dalam situasi tersebut.
Berketinggian melebihi 1.75 meter, bola tinggi sentiasa menjadi sasaran dalam setiap sepakan percuma diambil mahupun 'set piece' yang dirancang.
Selain memiliki ketinggian, mereka juga mempunyai kekuatan dan ketahanan fizikal yang mantap yang sukar ditandingi pertahanan lawan.
3. Tindak balas bola muntah
Dalam setiap perlawanan, situasi bola muntah paling ditakuti ramai dengan ia sentiasa dinanti-nantikan setiap pasukan.
Di Sabah, Stuart Wilkin merupakan watak penting dalam keadaan itu dengan kelicikan serta rembatan padu dimiliki mampu menembusi gawang lawan.
Stuart Wilkin memiliki kredibiliti selaku peledak dalam situasi bola muntah. — Facebook/SabahFC
Berkebolehan untuk mengambil sepakan dari jarak jauh, pemain warisan kelahiran England itu pernah beberapa kali menjaringkan gol dari luar kotak penalti sebelum ini.
Pengalamannya bersama skuad kebangsaan juga turut menyaksikan kepakaran itu menjadi antara senjata utama dimiliki pasukan Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram