SYARIKAT pengusaha bas MARALiner Sdn Bhd menjelaskan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang penumpang yang ditinggalkan bas di stesen Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada Isnin lalu.
MARALiner dalam kenyataan ringkasnya pada Khamis memohon agar rakaman tular itu tidak disebarkan lagi dengan siasatan lanjut sedang dijalankan.
"Pihak kami sedang menjalankan siasatan dalaman yang mengambil kira pelbagai faktor dan aspek daripada setiap sudut.
"Justeru itu, kami memohon jasa baik pihak tuan untuk membantu meredakan penularan berita ini.
"Kami amat berbesar hati agar pihak tuan untuk membantu kami meredakan sensasi video tular yang berlaku, sekian terima kasih," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang lelaki berlari dan memanggil pemandu syarikat bas berkenaan selepas dia ditinggalkan gara-gara lewat tiba di stesen berkenaan.
Insiden itu difahamkan berpunca akibat kecuaian mangsa yang lewat seminit dari waktu operasi yang dijadualkan.
Namun, segalanya masih dalam siasatan pihak berkenaan dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan hal tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram