CALON pengganti E. Elavarasan selaku ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan masih menjadi tanda tanya peminat bola sepak tanah air dengan posisi itu masih belum diisi mana-mana individu setakat ini.
Ia susulan pengumuman rasmi dibuat pihak Persekutusan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mengesahkan pengendali berpengalaman itu melepaskan jawatannya selepas menerima tekanan daripada penyokong yang rata-ratanya kurang berpuas hati dengan taktikal diterapkan dalam skuad Harimau Muda.
Untuk rekod, Elavarasan diumumkan sebagai pengendali skuad muda kebangsaan pada 1 September 2022 bagi menggantikan Brad Maloney dan pada masa sama masih memegang jawatan sebagai penolong jurulatih Harimau Malaya di bawah bimbingan Kim Pan-gon.
Mengulas mengenai kekosongan yang ditinggalkan oleh pengendali berusia 61 tahun itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram mengesahkan bahawa keputusannya akan diketahui pada Sabtu ini.
Namun, laman media ketika ini hangat membincangkan beberapa nama calon yang dikaitkan akan mengisi kekosongan tersebut.
Dua individu berpotensi yang disebut mampu menggalas tanggungjawab itu adalah Kim Dong-jin dan Juan Torres Garrido.
Berikut merupakan latar belakang dan info menarik perlu diketahui oleh penyokong pasukan kebangsaan mengenai kedua-dua pengendali import itu:
Kim Dong-jin
Kim Dong-jin merupakan satu nama besar dalam sejarah bola sepak Korea Selatan kerana pernah mewakili negaranya di Piala Dunia 2006 dan 2010.
Beraksi di posisi pertahanan serta memiliki 62 penampilan bersama Korea Selatan cukup untuk membuktikan betapa individu ini memiliki pengalaman serta pendedahan yang luas di peringkat antarabangsa.
Pernah berkelana ke Eropah bersama kelab Rusia, Zenit St Petersburg pada 2006 hingga 2009, kancah bola sepak Asia Tenggara juga tidak asing buatnya apabila pernah mewakili kelab Thailand, Muangthong United pada 2014 hingga 2015.
Selain itu, bekas pembantu jurulatih kepada Kim Pan-gon ini juga mempunyai pengalaman sebagai penolong jurulatih kelab Liga Perdana Hong Kong, Kitchee SC dan pernah menyandang sebagai pengendali kelab belia pasukan tersebut.
Mula dilantik sebagai pembantu ketua jurulatih pada musim 2019, pengendali berusia 40 tahun itu berjaya membantu pasukan tersebut memenangi kejuaraan Liga Perdana Hong Kong bagi musim 2019-2020 dan 2020-2021.
Juan Torres Garrido
Berperanan sebagai penolong jurulatih skuad B-23 pada September lalu, pemerhati bola sepak negara rata-ratanya enggan melepaskan individu kelahiran Sepanyol ini yang disifatkan sebagai calon berpengalaman yang mampu mengemudi pasukan muda negara.
Mempunyai lesen kejurulatihan Lesen A UEFA, kerjayanya yang bermula di beberapa kelab Sepanyol seperti FC Barcelona antara yang perlu diberikan perhatian.
Bermula 2010, Juan Torres mula berkhidmat bersama CF Damm yang berpangkalan di Barcelona sebagai jurulatih B-18, penganalisis, pencari bakat dan pengarah teknikal.
Selepas itu, dia kemudiannya berhijrah ke FC Barcelona dengan berperanan sebagai ketua pencari bakat bagi wilayah Catalunya dan jawatan terakhirnya sebelum berpijak di bumi Malaysia adalah ketua bola sepak remaja profesional B-23 bersama Granada FC.
Dengan keserasian dan pengalamannya bersama pasukan Harimau Muda, ia diyakini mampu diteruskan untuk membantu pasukan negara mencipta sejarah di kejohanan Piala Asia kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram