
KEKALAHAN 0-2 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu 16 September lalu menyukarkan hasrat Selangor FC untuk layak ke separuh akhir Piala Malaysia untuk tahun kedua berturut-turut.
Persembahan kurang bertenaga yang dipamerkan anak-anak buah Tan Cheng Hoe dalam pertemuan suku akhir pertama berkenaan membolehkan tuan rumah meraih dua gol menerusi Ivan Mamut dan Syahmi Zamri.
Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah masih berpeluang mengubah nasib mereka dalam aksi timbal balik yang akan diadakan di Stadium MBPJ, Selangor pada Ahad.
Dalam pertembungan itu, juara 33 kali Piala Malaysia tersebut pastinya berhasrat menampilkan persembahan terbaik memandangkan skuad Sang Penyu baru sahaja beraksi dalam Piala AFC Rabu lalu.
Namun, bagi Cheng Hoe, kemenangan ke atas wakil dari Australia, Central Coast Mariners hanya akan membakar semangat pasukan berkenaan untuk memberikan tentangan lebih hebat.
Skuad Gergasi Merah tewas dengan keputusan 0-2 ketika beraksi di tempat lawan. — Facebook/Selangor FC
"Kalau kita lihat, Terengganu FC kini berada dalam satu landasan terbaik. Kami berasakan pasukan mereka mempunyai satu keyakinan setelah memenangi perlawanan Piala AFC menentang Central Coast Mariners.
"Kita perlu bersedia dari segi taktikal pasukan dan kesebelasan utama terbaik untuk diturunkan menentang Terengganu FC nanti," katanya.
Jurulatih berusia 55 tahun itu sebelum ini pernah menjulang Piala Malaysia pada 2016 ketika mengendalikan Kedah FA setelah menewaskan Selangor FA.
Kini, dia yang memasuki tahun keduanya bersama skuad Gergasi Merah semestinya mahu menamatkan penantian trofi buat kelab Lembah Klang itu selepas kali terakhir mengecap kejayaan dalam Piala Malaysia 2015.
Tambah Cheng Hoe lagi, pasukannya tidak berdepan sebarang isu kecederaan dan berpeluang menurunkan kesebelasan utama terbaik dalam pertembungan itu.
"Satu berita baik kerana kesemua tonggak utama dan barisan skuad ketika ini nampaknya tidak terlibat dengan kecederaan.
"Yang penting adalah untuk persiapan, kita perlu sediakan satu rangkaian serangan terbaik untuk jaringkan gol dan pada hari perlawanan, semuanya terletak di bahu pemain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram