Prioriti berganda buat Cheng Hoe terus berkira-kira


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Selangor ketika ini masih mengekalkan tangga kedua liga hasil 49 mata dengan berbaki empat perlawanan. — Facebook/SelangorFC

TAN Cheng Hoe tiba-tiba terdiam seketika. Disoal mana satu prioritinya di antara Piala Malaysia dan Liga Super ketika ini, ketua jurulatih Selangor FC itu tergamam, seakan-akan tenggelam punca.

Bagi seorang jurulatih berpengalaman sepertinya pun, ia harus dianggapnya soalan 'cepumas.

Berbanding pada musim-musim terdahulu apabila Piala Malaysia hanya bermula selepas berakhirnya musim Liga Super, pembaharuan yang dilakukan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan melangsungkan Piala Malaysia secara serentak musim ini, menghadirkan cabaran yang sama-sekali berbeza.

Aksi suku akhir Piala Malaysia yang seiringan dengan empat atau lima minggu terakhir Liga Super tentunya tidak mudah, apatah lagi buat sebuah pasukan yang masih berpeluang memburu kesudahan terbaik.

Selangor ketika ini masih mengekalkan tangga kedua liga hasil 49 mata dengan berbaki empat perlawanan tapi terus terasa bahang dihambat Kedah Darul Aman (KDA) FC yang memiliki satu perlawanan dalam tangan di sebalik berjurang lima mata.

Situasi sedemikian menuntut seorang ketua jurulatih lebih cermat dalam menentukan penggiliran pemain serta menentukan mana satu keutamaannya – mengorbankan salah satu atau terus berjuang dalam kedua-duanya?

latihan sel

Kapten Gergasi Merah, Brendan Gan ketika sesi latihan Selangor FC. — Facebook/SelangorFC

Selepas menghela nafas panjang, Cheng Hoe mula menyusun jawapannya yang berbunyi: “Kedua-duanya sama penting kepada Selangor FC tapi saya kena akui yang ia tidak mudah buat kami. Ia berkisar kepada cabaran yang perlu dihadapi, bukan soal memilih salah satu daripadanya.

“Tentunya ia menuntut semua pemain bekerjasama menjayakannya. Dalam soal ini, semangat berpasukan amat penting di mana semua pemain perlu memainkan peranan masing-masing dan bukannya bergantung kepada satu atau dua individu tertentu untuk memenangkan pasukan.”

Mengambil kira Johor Darul Takzim (JDT) tidak mampu lagi dipintas di puncak liga dan sekadar menanti waktu untuk ditabalkan juara, kedudukan naib juara kini seolah-olah satu kemestian buat Selangor FC yang akan memberikannya tempat dalam saingan di peringkat Asia musim depan.

Berbaki cuma empat perlawanan liga -- menentang Terengganu FC (29 September) A, Perak FC (25 November) A, Kedah FC (2 Disember) A dan PDRM FC (17 Disember) H – Selangor tidak mampu lagi mencicirkan sebarang mata untuk menafikan kemungkinan KDA FC memintas ‘tang konar’.

Tambahan, kedua-dua pasukan itu akan melakukan perhitungan di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 2 Disember yang boleh menjadi penentu kedudukan terakhir kedua-dua pasukan nanti.

KEDAH SEL

Selangor ketika menewaskan Kedah 3-2 pada 24 Mei lalu. — Facebook/SelangorFC

Dalam pada itu, di atas kertas, Selangor FC turut berpeluang ke final Piala Malaysia pada 9 Disember nanti dengan syarat mereka perlu lebih dahulu menterbalikkan defisit 0-2 kepada Terengganu FC dalam aksi suku akhir pertama di tempat lawan 16 September lalu, apabila kedua-dua pasukan bersemuka semula di Kelana Jaya, Ahad ini.

Kepada Cheng Hoe, kekalahan di Kuala Terengganu itu seboleh-bolehnya mahu dilontar jauh-jauh daripada ingatannya kerana kalau diingati pun, ia adalah satu malam yang serba tidak menjadi.

“Pasukan saya seperti menutup suis untuk segala-galanya malam itu. Kami tidak beraksi seperti yang diharapkan, prestasi pasukan merudum jika dibandingkan dengan sebelum itu dan gerakan kami tidak lancar tapi tersekat-sekat.

“Beberapa pemain kami baru kembali daripada aksi bersama pasukan kebangsaan (di China) tapi saya tidak anggapnya sebagai alasan untuk menutup persembahan hambar kami,” katanya terhadap kekalahan kepada sepakan penalti Ivan Mamut dan gol Syahmi Zamri pada penghujung setiap separuh masa.

Cheng Hoe juga berkata, dia dan pemain-pemainnya menghabiskan banyak masa memikirkan semula kekalahan itu, yang bagaimanapun tidak akan mengubah apa-apa melainkan ia menjadi pengajaran untuk menebus kekalahan itu.

sel tfc

TFC mudah menang 2-0 ke atas Selangor pada aksi suku akhir Piala Malaysia. — Facebook/SelangorFC

“Kami semuanya sangat kecewa tapi mujur kami masih lagi berpeluang kerana ada satu perlawanan lagi. Dan untung juga ia adalah defisit dua gol kerana jika ia dengan jurang tiga atau empat gol, ia sudah ‘game over’.

“Kedudukan 2-0 masih memberi kami sedikit peluang untuk cuba bangkit dan menebusnya. Saya hanya dapat harapkan pemain-pemain akan bangkit menyahut cabaran yang dituntut daripada mereka,” katanya lagi.

Adakah kelebihan di pihak Selangor?

Mereka tidak beraksi dalam perlawanan sepanjang seminggu lalu berbanding Terengganu FC yang baru menewaskan juara Australia, Central Coast Mariners, 1-0 dalam aksi sulung Kumpulan G Piala AFC di Kuala Terengganu pada Rabu.

“Mereka dilihat bagus dan bertahan dengan baik sekali,” kata Cheng Hoe dengan mengatakan, “Ia akan jadi satu perlawanan yang sukar buat kami menentang Terengganu FC. Tapi ini akan jadi perlawanan hidup-mati buat kami dan kami berharap untuk menggunakan peluang di tempat sendiri.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram