Terlalu banyak khabar angin, CEO akhirnya buka mulut isu gaji menimpa kem Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 23 Sep 2023

KDA FC ketika kalah tipis 0-1 di tangan Kuching City FC dalam aksi suku akhir MFL Challenge Cup baru-baru ini. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA) musim ini dikategorikan sebagai pesaing terdekat untuk merebut naib juara untuk saingan Liga Super dengan mereka hanya dibezakan lima daripada Selangor yang kini berada di kedudukan kedua dengan 49 mata.

Walaupun kekal konsisten di saingan utama Liga Malaysia (Liga M) itu namun skuad Hijau Kuning gagal untuk memberikan persembahan cemerlang untuk kejuaraan lain seperti Piala Malaysia dan Piala FA.

Perjuangan Piala Malaysia bagi skuad berpangkalan di Kedah tersebut terhenti pada pusingan ke-16 terbaik yang mana Sang Kenari dimalukan di tangan Perak FC selepas tewas 3-4 secara agregat kepada The Bos Gaurus (TBG).

Untuk saingan Piala FA pula, pasukan Sang Kenari tersungkur di pusingan pertama kejohanan tersebut apabila skuad Hijau Kuning itu tewas 3-4 kepada Penang (PFC) melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 dalam perlawanan yang cukup sengit di Stadium Darul Aman.

Kini, peluang terakhir untuk melihat skuad kendalian Nafuzi Zain itu merangkul piala juga kelihatan pudar apabila Hijau Kuning tewas tipis 0-1 di tangan Kuching City FC dalam aksi suku akhir MFL Challenge Cup di Stadium Negeri, Sarawak pada Selasa.

Kekalahan mengejutkan tersebut secara tidak langsung dikaitkan dengan khabar angin yang mengatakan wujudnya isu dalaman yang dihadapi pasukan Utara tanah air berkenaan.

WhatsApp Image 2023-09-23 at 14.33.46

Tangkap layar hantaran dari laman ultras Kedah.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti menerusi beberapa hantaran luahan daripada ultras KDA FC, isu dalaman tersebut seperti merujuk kepada masalah tunggakan gaji namun kesahihannya masih menjadi tanda tanya penyokong.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Khamal Idris Ali pula enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai isu kontroversi yang menimpa kem KDA FC.

"Saya tidak mahu komen lagilah. Tidak nak kata apa-apa sebab dalam majlis. Untuk waktu ini tak lagi kot. Saya tidak boleh sahkan apa-apa pasal itu (masalah gaji).

"Kalau kita inform pun nanti tidak menepati, jadi tiada apa-apalah pasal situasi ini," katanya ringkas kepada Majoriti.

Dalam pada itu, ada juga penyokong mendakwa bahawa penaja utama, Bin Zayed International iaitu sebuah syarikat yang berpangkalan di bumi Dubai sudah menarik diri sekali gus membangkitkan isu tunggakan gaji dalam kem Kedah.

Di sebalik kesahihan isu tunggakan gaji itu, majoriti peminat KDA FC berharap pemilik kelab yang juga usahawan tanah air, Tan Sri Mohd Daud Bakar akan menyelesaikan isu dalaman berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram