JIKA anda merupakan penyokong Selangor, pasti sudah terbiasa dengan pertandingan bernama Piala Sultan Selangor (PSS) bukan?
PSS merupakan pertandingan bola sepak melibatkan Selangor dan Singapura bagi meraikan sejarah panjang permusuhan dua pasukan dalam bola sepak.
Selangor dan Singapura merupakan musuh ketat dalam bola sepak Malaysia sejak dari dahulu. Buktinya, kedua-dua pasukan ini merupakan pelopor dalam saingan Piala Malaysia dengan Gergasi Merah mempunyai 33 gelaran sementara skuad Singa 24 kejuaraan.
Idea PSS ini dicetuskan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2001 untuk memastikan permusuhan antara dua pasukan ini tidak terpadam selepas Singapura meninggalkan Liga Malaysia pada 1994.
Kejohanan ini cukup berprestij bagi Selangor dan Singapura, sudah pasti persiapan rapi dibuat bagi memastikan perjalanan pertandingan berjalan lancar termasuklah pada edisi 2013.
Ketika itu, proses untuk menganjurkan PSS edisi 2013 mengalami masalah kerana Stadium Shah Alam (SSA) tidak berada dalam keadaan terbaik.
Oleh itu, pihak penganjur telah diarahkan oleh Sultan Selangor untuk membaiki segala kerosakan yang berlaku di SSA supaya PSS 2013 dapat dilangsungkan dengan gilang gemilang.
Pilihan Selangor diketuai Asrarudin Putra Omar menjuarai Piala Sultan Selangor edisi 2013. — Agensi
"Beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian seperti sistem siaraya, papan markah digital, tandas dan perkhidmatan wi-fi untuk pihak media yang membuat liputan acara ini.
"Sultan Selangor, menerusi jawatankuasa dan wakilnya telah meminta Majlis Bandaraya Shah Alam dan Menteri Besar Selangor untuk mengambil tindakan segara bagi mengatasi situasi ini," kata Ahli Jawatankuasa Penganjur PSS edisi 2013, Datuk Abdul Karim Munisar ketika itu.
Penganjur PSS pada 2013 mempunyai masa yang singkat untuk baiki semua masalah kerana ia perlu diselesaikan sebelum sepak mula pertandingan pada 28 September 2013.
Mujur kesemuanya dapat diselesaikan dan pada edisi tersebut, Selangor muncul juara menewaskan Singapura dengan jaringan 3-2.
10 tahun berlalu, peristiwa ini menjadi cukup signifikan dalam sejarah bola sepak Selangor apabila PSS akan kembali semula pada 2023 selepas tidak diadakan sejak 2020 kerana pandemik Covid-19.
Dengan SSA sudah tidak lagi digunakan dan Kompleks Sukan Shah Alam bakal dibangunkan, Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi lokasi PSS edisi 2023 yang akan diadakan pada 28 Oktober kelak.
Dua perlawanan akan diadakan dengan aksi pilihan veteran Selangor menentang pilihan veteran Singapura. Selepas itu, acara utama adalah aksi melibatkan Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram