PELBAGAI calon ketika ini mula dipetik sebagai pengganti kepada E Elavarasan yang meninggalkan jawatannya sebagai pengendali skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara.
Tugasan itu bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan pasukan berkenaan bakal berentap dalam saingan Piala Asia B-23 pada Julai akan datang.
Selain itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semestinya tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru apabila orang ramai pastinya berharap jurulatih terbaik dapat dilantik mereka.
Berdasarkan khabar angin, badan induk bola sepak negara itu seperti masih belum membuat penilaian terbaik dengan mereka masih berkira-kira untuk membawa masuk seorang dari dalam mahupun luar negara.
Pembantu kepada Elavarasan, Juan Torres Garrido serta pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain merupakan antara nama yang disebut-sebut di media sosial ketika ini.
Nafuzi merupakan salah seorang jurulatih yang dikaitkan sebagai pengganti Elavarasan. — Facebook/KDA FC
Di samping itu, terdapat juga ura-ura mengatakan jurulatih dari Korea Selatan akan dilantik bagi menyelaraskan taktik dengan skuad senior negara.
Tetapi, sehingga kini, perkhabaran berkenaan masih tidak terjawab dengan FAM difahamkan sedang meneliti pilihan serta calon terbaik buat mereka.
Bagaimanapun, jawapan mengenai persoalan itu seperti sudah hampir diketahui apabila ketua jurulatih skuad muda Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli memberikan satu mesej tersirat di laman Twitternya.
Dalam satu hantaran pada Jumaat, pengendali berusia 41 tahun itu menyertakan sekeping foto memaparkannya berada di Wisma FAM, Selangor dengan kapsyen berbunyi, "Moga dipermudahkan".
Tidak cukup dengan itu, bekas pemain negara tersebut juga sempat berkongsi gambar yang menunjukkannya menunggu di ruang lobi bangunan berkenaan.
Dua keping foto yang dikongsikan Akmal Rizal di laman Twitter peribadinya. — Twitter/Akmal Rizal
Sebelum ini, Akmal menegaskan bahawa dia berminat untuk menggalas tanggungjawab itu setelah mengumpul pengalaman dalam bidang kejurulatihan bersama skuad Piala MFL Penang FC.
Pelantikannya juga dijangka akan diterima baik peminat bola sepak tempatan apabila kejayaannya bersama kelab Utara tanah air itu sukar diperlekehkan.
Dalam saingan Piala MFL, skuad muda Harimau Kumbang tidak bernasib baik untuk melepasi Kumpulan A setelah hanya berada di tangga kelima.
Bagaimanapun, kebolehannya untuk mencungkil bakat muda, terutamanya Alif Ikmalrizal meletakkannya sebagai antara calon terbaik untuk mengendalikan skuad B-23 negara.
Selain mengendalikan skuad Piala MFL Penang FC, Akmal Rizal juga pernah menimba pengalaman dalam dunia kejurulatihan ketika bergelar pembantu jurulatih kepada Azmi Muslim bersama skuad senior Harimau Kumbang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram