Bukan di JDT II, Safawi antara 3 pemain Harimau Selatan patut diberi peluang bertemu skuad Jang


  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

JDT pernah membelasah skuad kendalian K Devan dengan kemenangan bergaya 7-0. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) dijadualkan bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada malam Sabtu.

JDT memiliki kelebihan daripada segi aggregat hasil kemenangan 3-0 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 13 September lalu.

Untuk rekod, JDT baru sahaja bertemu dengan Kawasaki Frontale di Asia Champions League (ACL) pada Rabu, yang menyaksikan pasukan itu ditumbangkan dengan rekod 1-0.

Jadi, menjelang pertemuan dengan skuad Hobin Jang Hobin itu nanti, beberapa pemain dirasakan perlu direhatkan untuk mengembalikan semula kecergasan mereka agar dapat mempamerkan aksi yang lebih baik pada masa akan datang.

Apatah lagi, NSFC yang kini berada di tangga kesembilan Liga Super dianggap bukanlah lawan yang sukar buat kelab berpangkalan di Selatan Semenanjung itu.

Sebelum ini, pasukan Harimau Selatan itu pernah membelasah skuad kendalian K.Devan dengan kemenangan bergaya 7-0.

Dengan rekod yang sedemikian, tidak salah sekiranya Esteban Solari menurunkan beberapa pemain lain dan merehatkan tonggak utama mereka.

Sehubungan itu, Majoriti senaraikan tiga pemain JDT yang boleh direhatkan dan digantikan dengan pemain berpotensi lain:

1) Arif Aiman - Safawi Rasid

Penyokong semestinya ingin melihat Arif Aiman beraksi di pentas liga yang lebih besar. — Facebook/JDT

Tonggak utama JDT, Arif Aiman Hanapi dirasakan antara pemain yang patut direhatkan daripada beraksi dalam Piala Malaysia menentang NSFC.

Ini kerana pemain berusia 22 tahun itu perlu bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi perlawanan yang lebih besar seperti ACL.

Pada masa sama, penyokong semestinya ingin melihat anak jati Pahang itu beraksi di pentas liga yang lebih besar.

Justeru, bintang lain yang dilihat sesuai menggantikan Arif Aiman untuk berdepan Negeri Sembilan adalah Safawi Rasid.

Hal ini kerana, kehadiran Safawi tentunya akan memberi dinamik berbeza kepada pasukan tersebut.

Malah Safawi yang terkenal dengan kekutan kaki kirinya itu juga dilihat sudah lama tidak beraksi sehinggakan ada segelintir penyokong yang merindui aksinya itu.

Apatah lagi, Safawi baru-baru ini diturunkan dalam perlawanan JDT II menentang Perak FC II.

Kelibat dalam skuad JDT II untuk saingan Liga Juara Piala MFL itu menyaksikan pasukan Harimau Selatan berjaya menang tipis 1-0 hasil jaringan tunggal dari penyerang sayap, Safawi seawal minit ketiga menerusi sepakan percuma.

Muncul juga khabar angin yang mengatakan kehadiran Safawi ke dalam skuad JDT II adalah kerana dia sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan itu.

Untuk rekod, kali terakhir pemain berumur 26 tahun itu diturunkan sebagai kesebelasan utama pada Ogos lalu, ketika menentang NSFC.

2) Bergson da Silva - Diogo dos Santos

Bergson menjadi antara tulang belakang kecemerlangan luar biasa JDT dalam perlawanan Liga Super musim ini. — Facebook/JDT

Bergson da Silva menjadi antara tulang belakang kepada kecemerlangan luar biasa JDT dalam perlawanan Liga Super musim ini.

Setakat ini, Bergson beraksi dalam 17 perlawanan dalam Liga Super dan telah menjaringkan 15 gol dan lima bantuan jaringan (assist).

Jadi, tidak salah sekiranya penyerang itu tidak diturunkan dalam aksi Piala Malaysia bagi memberikan ruang kepada dia untuk mendapatkan rehat secukupnya.

Keadaan itu bakal memberikan ruang kepada Diogo Luis Santo yang masih bergelut untuk mendapat minit permainan pada musim ini apabila hanya tampil dalam 11 perlawanan Liga Super dan Piala FA.

Sepanjang sembilan kali diturunkan dalam aksi Liga Super, Diogo telah menjaringkan tujuh gol dan empat asisst setakat ini.

Ia sekali gus menunjukkan dia mampu menggantikan tempat Bergson tanpa menimbulkan kerisauan dalam kalangan penyokong JDT.

Malah, kelincahan pemain berketinggian 1.82 meter itu juga dilihat mampu mengucar-ngacirkan permainan pihak lawan.

Untuk rekod, Diogo pernah menyertai JDT pada musim 2019/20 dan berjaya menjaringkan 16 gol selepas membuat 32 penampilan bersama skuad Harimau Selatan.

3) Corbin-Ong - Oscar Arribas

Arribas adalah tunjang bagi benteng pertahanan JDT. — Facebook/JDT

Corbin-Ong merupakan figura penting yang perlu direhatkan bagi aksi menentang Negeri Sembilan untuk mengelakkan dia mengalami kecederaan atau perkara yang tidak diingini berlaku.

Ini kerana pemain tersebut merupakan tunjang utama bagi benteng pertahanan JDT.

Corbin yang disifatkan berada dalam kelas tersendiri dan sentiasa 'on form', tidak pernah cedera selain bijak mengekalkan prestasi hingga mendapat kepercayaan untuk membarisi benteng pertahanan sejak menyertai JDT.

Jadi, pemain yang dirasakan layak untuk menggantikan Corbin dalam aksi pada Sabtu ini adalah Oscar Arribas.

Pemain kacukan Sepanyol-Filipina berkenaan pernah menggalas tanggungjawab yang diberikan oleh Esteban Solari agar bermain di posisi bek kiri bagi menggantikan Corbin.

Meskipun diberi peluang, namun kehadiran Arribas dalam skuad JDT tidak menguggat kedudukan Corbin di posisi bek kiri.

Arribas sudah mencetak tiga gol dan empat assist dalam16 perlawanan Liga Super musim ini.

Sebelum menyertai Harimau Selatan, Arribas merupakan pemain FC Cartagena dengan kontrak setahun pada musim 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram