BAKAT penyerang sayap sensasi Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi terus menarik perhatian kelab luar negara terutamanya selepas dia memberi persembahan terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.
Walaupun Arif Aiman tidak menjaringkan gol pada perlawanan pembukaan peringkat kumpulan yang mana Harimau Selatan tewas tipis 0-1 di tangan Kawasaki Frontale namun pergerakan lincah pemain berusia 21 tahun menjadi bualan penyokong negara Matahari Terbit itu.
Pemain kebangsaan negara itu berhasil memporak-perandakan kubu pertahanan jaguh Jepun itu sehingga kemahirannya itu diperakui sendiri oleh pengendali skuad Azzurro Nero, Toru Oniki.
Persembahan bermutu Arif Aiman membuatkan Toru akan lebih mengawasi pemain kelahiran Pahang itu pada perlawanan timbal balik mereka di Stadium Olahraga Todoroki, Jepun pada 28 November nanti.
"Arif menjadi ancaman kepada kami sepanjang perlawanan. Dia memberi impak yang baik untuk pasukannya dan pastinya akan menjadi gangguan untuk kami.
“Kami tahu dia berbakat walaupun sebelum perlawanan tetapi dia masih berjaya mencipta peluang meskipun dikawal dengan ketat.
“Untuk perlawanan seterusnya, tentunya kami akan mengawal dia dengan lebih ketat," katanya ketika sidang media selepas aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri pada Selasa.
Tangkap layar ciapan dari Shimpe Kanada.
Dengan persembahan cemerlang Arif Aiman di peringkat tertinggi Asia, nama bekas pemain Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) tersebut menjadi pilihan kelab gergasi di Jepun.
Khabar angin mengaitkan Arif Aiman dengan Liga Jepun itu bermula dengan perkongsian ciapan oleh pengguna akaun X, Shimpei Kanada yang dipercayai merupakan seorang pengurus sebuah portal sukan di Jepun.
"Difahamkan ada kelab dari Liga J inginkan Arif Aiman," tulisnya.
Terdahulu, sebuah kelab Liga 1 Jepun (Liga J), Kashiwa Reysol dikatakan berminat untuk melamar Arif Aiman dengan perkembangan itu disahkan menerusi laporan portal bola sepak Jepun, Football Tribe.
Difahamkan lamaran dari kelab Jepun itu bermula apabila melihat kejayaan JDT melangkah ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (ACL) musim lalu menyebabkan Arif Aiman menjadi tumpuan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram