'Dia berbakat', pengendali Kawasaki puji persembahan Arif Aiman


  • Podium
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Bintang muda tanah air, Arif Aiman Hanapi. — Facebook/MFL

MESKIPUN pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi tidak menjaringkan gol ketika aksi menentang Kawasaki Frontale dalam Liga Juara-juara Asia (ACL) 2023 pada Selasa, namun dia tetap mendapat perhatian pengendali pasukan lawan.

Ketua Jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Oniki memuji pemain sayap berusia 21 tahun itu yang menganggap penyebab masalah di sayap kiri, sehinggakan kelab Jepun itu terpaksa meletakkan dua pemain pertahanan untuk mengawal ketat bintang muda Harimau Selatan itu.

Namun, pemain paling berharga Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu dilihat mampu melepasi pemain pertahanan lawan itu dengan kemahiran geleceknya.

Bagaimanapun, wakil kelab dari Jepun itu berjaya meraih kemenangan 1-0 dalam pertemuan pembukaan Kumpulan I menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Selasa.

Pengendali Kawasaki turut berkata, dia akan mengawasi Arif pada perlawanan timbal balik mereka di Stadium Olahraga Todoroki, Jepun pada 28 November nanti.

“Arif menjadi ancaman kepada kami sepanjang perlawanan. Dia memberi impak yang baik untuk pasukannya dan pastinya akan menjadi gangguan untuk kami.

“Kami tahu dia berbakat walaupun sebelum perlawanan tetapi dia masih berjaya mencipta peluang meskipun dikawal dengan ketat.

“Untuk perlawanan seterusnya, tentunya kami akan mengawal dia dengan lebih ketat," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari meluahkan kegembiraan dengan prestasi yang ditampilkan oleh Arif.

“Dia bersinar setiap hari. Dia telah menjaringkan gol dan mencipta peluang untuk kami sepanjang musim ini. Saya tahu dia akan melakukan lebih baik dalam Liga Juara-Juara (Asia),” kata pemain Argentina itu.

Dengan pujian yang begitu memberangsangkan, pastinya ramai penyokong mengharapkan agar Arif akan memberikan satu lagi persembahan yang baik untuk pasukan Harimau Selatan.

JDT akan bertemu Negeri Sembilan FC pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri pada Sabtu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram