FOTO hitam putih yang dimuat naik penyerang sayap Kelantan FC, Ikhwan Yazek di laman Insta Story pada Khamis sudah cukup menggambarkan ucapan selamat tinggal kepada penyokong dan rakan sepasukan skuad The Red Warriors (TRW).
Pemain berusia 23 tahun itu kembali selepas hampir tujuh bulan menghilang rentetan daripada kecederaan yang dialaminya di meniscus ketika aksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC aksi pada 17 Mac lalu.
Namun kemunculan semulanya selepas hiatus itu bukannya membawa khabar gembira kepada penyokong TRW untuk melihatnya kembali beraksi, tetapi mengumumkan mengenai keputusannya untuk meninggalkan kelab Pantai Timur tersebut.
Menerusi satu hantaran di laman Instagramnya, pemain muda itu memutuskan itu meninggalkan kem Kelantan selepas hanya sempat tampil dalam lima aksi Liga Super dan menyumbangkan satu hantaran bantuan.
“Berat kaki ini untuk melangkah keluar daripada sebuah cita-cita tetapi langkah berani harus diambil demi masa depan.Terima kasih diatas sokongan dan doa kalian semua selama ini. Tak kira pihak pengurusan, penyokong mahupun kawan-kawan sepejuangan.
“Sudah tiba masanya jersi ’66’ mengundurkan diri. Semua kenangan yang tercipta di arena yang penuh dengan suka duka pahit getir ini, akan ku kenang selamanya. Semoga ketemu di lain waktu dan semuanya baik-baik saja,” katanya.
Selepas pengumuman tersebut, timbul khabar angin mengatakan bahawa Ikhwan menjadi buruan kelab dari Lembah Klang serta Pantai Timur tanah air dan dijangkakan akan menyarung jersi pasukan baharu pada musim depan.
Tangkap layar ciapan dari Zulhelmi Zainal.
Pengumuman tersebut diumumkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman Twitter miliknya pada Khamis.
Selain daripada khabar angin tersebut, pemain sayap kiri itu juga seperti memberi petunjuk akan membina karier baharu di Liga Singapura selepas satu balasan komen ditulisnya kepada Pol Corpas Cuatrecasas.
"Terima kasih Pol, see you next year," balas Ikhwan kepada kepada bekas penolong jurulatih dan juruanalisis video Kelantan FC itu yang kini bertugas dengan Lion City Sailors (LCS).
Jika Ikhwan memutuskan untuk berhijrah ke negara jiran itu, ia dianggap sabagai langkah kanan dalam kariernya berikutan pasukan Lion City Sailors boleh diibaratkan sebagai Johor Darul Takzim (JDT) jika di Malaysia.
Lion City Sailors kini menduduki kedudukan kedua dalam saingan Liga Singapura dan lebih menarik jaguh Singapura itu juga beraksi di saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.
Kelebihan jika Ikhwan ingin melebarkan sayap ke pasukan itu, dia juga berpeluang untuk kembali ke potensinya dengan bantuan dari Pol Corpas yang mengenalinya sebagai pemain ketika bersama TRW dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram