PENGENDALI AS Roma, Jose Mourinho bangkitkan semula ketidakpuashatiannya apabila mendakwa bahawa pasukannya tidak tewas pada perlawanan akhir Liga Europa menentang Sevilla pada Mei lalu.
Ketua jurulatih dari Portugal itu tidak berpuas hati dengan pengadil perlawanan di pentas final tersebut selepas Sevilla menjulang trofi dengan menang penentuan sepakan penalti di Budapest, Hungary.
Selepas perlawanan, rakaman di media sosial menunjukkan Mourinho melemparkan kata-kata makian ke arah pengadil perlawanan di tempat letak kereta dan melabelkan keputusan mereka sebagai perkara yang memalukan.
Mourinho kemudiannya digantung empat perlawanan kerana mencerca pengadil. Anthony Taylor dan keluarganya juga diserang secara fizikal dan lisan oleh penyokong AS Roma ketika mereka pulang dari perlawanan akhir Liga Europa.
Tangkap layar keadaan Taylor dan keluarga ketika diserang penyokong Roma di lapangan terbang Budapest.
Pengadil dari England itu melayangkan kad kuning kepada 13 pemain, tujuh daripadanya dari Roma, manakala perlawanan yang tegang itu dihentikan beberapa kali kerana jumlah kekasaran yang terlalu banyak.
Selepas hampir empat bulan, Roma memulakan kempen baharu Liga Europa musim ini dengan menentang Tiraspol pada Khamis ini tetapi isu kontroversi itu masih menimbulkan kemarahan Mourinho.
"Ia adalah musim yang berbeza dan pertandingan yang berbeza. Saya juga akan terus mengatakan bahawa kami tidak tewas pada perlawanan akhir di Budapest. Setiap kali orang bercakap dengan saya mengenainya, saya akan memberitahu mereka bahawa kami tidak kalah.
"Kali ini kita kita akan bermula dari awal dan objektif pertama adalah untuk layak ke peringkat seterusnya. Tahun lepas kami memulakan perungkat kumpulan dengan kekalahan dan perlu melalui play-off, jadi memenangi peringkat kumpulan amat penting," katanya ketika sidang media pra-perlawanan.
Tindakan pengadil sebegitu rupa bukan hanya berlaku di pentas Eropah apabila baru-baru ini pegawai perlawanan ketika aksi pembukaan Liga Juara-Juara Asia (ACL) antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kawasaki Frontrale turut menimbulkan kemarahan penyokong domestik.
Dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri itu, terdapat beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil dari Qatar, Abdulrahman Al-Jassim yang dianggap tidak memihak kepada Harimau Selatan.
Lebih menghairankan apabila penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) seperti tidak berfungsi selepas Abdulrahman enggan memberi sepakan penalti walaupun jelas pemain JDT, Arif Aiman dijatuhkan untuk kali kedua dalam kotak penalti.
Rentetan daripada isu tersebut, pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berang dengan tindakan pengadil itu dan memberi komen di laman Instagram peribadinya.
"VAR hanya bagus untuk orang yang bijak menggunakan VAR, tak guna bagi VAR kepada orang tak tahu pakai VAR. Ibarat beri kereta kepada monyet," katanya.
Pasukan dari Jepun itu mencatat kemenangan 1-0 ke atas Harimau Selatan menerusi jaringan tunggal dari penyerang Brazil, Marcinho pada lewat separuh masa pertama sekaligus memberikan tiga mata penuh untuk Kawasaki. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram