PERLAWANAN persahabatan antarabangsa Tier 1 pada Sabtu menyaksikan Harimau Malaya mencatatkan satu keputusan positif apabila mengikat pasukan di ranking ke-80 dunia, China.
Aksi yang berlangsung di Stadium Pheonix Hall, China itu dimulakan dengan cukup baik buat skuad kebangsaan apabila Darren Lok membuka jaringan seawal minit kedua permainan.
Bagaimanapun, gol tersebut segera dibatalkan pembantu pengadil apabila mendapati pemain sayap, Faisal Halim sudah berada dalam keadaan ofsaid sebelum memberikan bola kepada Darren Lok.
Tetapi, kekecewaan itu tidak berkekalan apabila pasukan negara kembali bangkit untuk mendapatkan jaringan pembukaan pada minit ke-11.
Ketenangan pemain sayap kiri, Akhyar Rashid untuk mengawal bola sambil diawasi pemain lawan membolehkannya membuat hantaran tepat buat Faisal yang kemudiannya menyudahkan peluang berkenaan.
Jaringan tersebut jelas membakar semangat pemain serta penyokong yang hadir memandangkan mereka mampu menembusi benteng pertahanan lawan.
Faisal Halim memberikan kelebihan buat skuad negara pada minit ke-11 permainan. — Facebook/FAM
Namun, pada minit ke-36 pula, tuan rumah kembali mengikat kedudukan apabila rembatan deras Lin Liangming terkena pemain negara sebelum merobek gawang gol Harimau Malaya.
Meskipun gagal membawa pulang kemenangan, orang ramai masih berasakan keputusan tersebut sudah cukup memuaskan hati berdasarkan kedudukan China dalam ranking FIFA ketika ini.
Pujian kemudiannya dicurahkan buat kesemua pemain yang diturunkan dalam perlawanan itu dengan perbincangan mengenai pemain terbaik sepanjang 90 minit permainan turut hangat diadakan di media sosial.
Jaringan Faisal Halim semestinya menaikkannya sebagai antara calon terbaik dengan nama Syihan turut disebut-sebut sebagai pemain paling bernilai.
Tetapi, bagi penyokong bola sepak tempatan menerusi akaun Facebook Harimau Selatan X 2.0, bek kiri negara, Corbin Ong merupakan antara yang paling layak untuk menerimanya.
"Tanpa dia, Harimau Malaya pasti goyah. Dia tidak perlukan mikrofon atau kamera untuk mengejar populariti, tetapi dengan keberadaannya, dia pasti akan memberi keputusan dan permainan positif untuk pasukan yang diwakili. Dialah Corbin Ong," tulisnya.
Corbin Ong beraksi dengan cukup baik ketika berdepan China pada Sabtu. — Facebook/FAM
Dalam perlawanan menentang China, pemain berusia 32 tahun berkenaan beraksi selama 90 minit dengan kehadirannya jelas memberikan satu suntikan buat benteng pertahanan negara.
Selain bijak dalam menyekat serangan lawan, tonggak Johor Darul Takzim (JDT) tersebut juga cukup meyakinkan ketika merencanakan serangan dengan hantarannya sukar dibaca.
Cadangan penyokong berkenaan turut disokong beberapa pengikut setia pasukan negara yang lain apabila mereka melihat kecemerlangan pemain warisan itu sukar dipersoalkan.
"Jantung dia lain macam, boleh digunakan juga untuk masuk ke dalam kotak penalti lawan dan hasilkan gol. Semoga Pan-gon dapat maksimumkan kelebihan semua pemain ketika Piala Asia nanti," kata Ariffin Jamal.
"Saya cukup berminat dengan permainan Corbin Ong, tetapi semua pemain patut diberikan pujian sebab mereka cukup bagus dan bersemangat," kata Mohd Zani.
"Pada aku, memang Corbin Ong ni penting. Main 90 minit pun masih bersemangat dan ada stamina yang baik. Memang layak untuk dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan (MOTM)," ujar Zam Ali.
Setakat ini, pemain dengan ketinggian 1.84 meter itu sudah mencatatkan 21 penampilan bersama skuad kebangsaan sejak mencatatkan debutnya pada 2019.
Namanya dianggap sebagai antara yang paling layak untuk dibawa kem kebangsaan ke Qatar awal tahun depan untuk kempen Piala Asia 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram