[VIDEO] Lupakan bola sepak, tenis padel dan badminton antara sukan sesuai diceburi tonggak TFC


  • Podium
  • Ahad, 10 Sep 2023

Selain bola sepak, beberapa pemain skuad Peteh ada sukan lain yang menjadi kegemaran mereka. — Facebook/TFC

SETIAP pemain bola sepak mempunyai sukan kegemaran lain yang mana ia akan dijadikan sebagai platform untuk melepaskan tekanan mereka dan berehat daripada menggalas tugas bersama kelab mahupun skuad kebangsaan.

Ada juga antara pemain bola sepak tanah air pernah menceburi sukan kegemaran mereka sebelum serius dalam bola sepak dan antara contohnya ialah penyerang sayap kebangsaan, Safawi Rasid sebelum ini bermain sepak takraw.

Untuk rekod, pemain berusia 26 tahun itu adalah pemain sepak takraw negeri sehingga berusia 16 tahun dan ketika tingkatan 5, dia memutuskan untuk menggugurkan sukan itu bagi mengejar kerjaya bola sepak secara serius.

Selain pemain kebangsaan itu, beberapa pemain Terengganu FC (TFC) pula menjadi pemain seterusnya mendedahkan mempunyai sukan kegemaran dan sebahagian penyokong menjangkakan ia juga dapat menjadi karier baharu.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi skuad Sang Penyu, pemain sayap, Nik Sharif Haseefy dan ubi muda Terengganu, Muhammad Syafik Ismail sama-sama meminati futsal sebagai sukan kegemaran kedua mereka selepas bola sepak.

Manakala pemain TFC II, Muhammad Muslihuddin Atiq Mat Zaid pula akui meminati sukan badminton yang mana jika dilihat pada ketinggiannya yang melebihi 170 cm itu dianggap sesuai untuk menjadi pemain sukan bulu tangkis tersebut.

Manakala, pemain import dari Bahrain, Habib Haroon sudah menerima ajakan daripada penyokong skuad Sang Penyu untuk bermain snuker bersama apabila pemain berusia 22 tahun itu mengakui menyukai sukan tersebut.

Pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi pula mencuri tumpuan apabila mengambil masa yang lama untuk memikirkan sukan kegemarannya dan akhirnya dia menyebut tenis padel antara yang digemarinya selepas bola sepak.

Tenis padel mungkin agak asing di tanah namun untuk yang mengetahuinya, ia adalah sukan dari gabungan tenis dan skuasy dan dimainkan di atas padang berukuran 10 meter x 20 meter dengan pagar kaca dan dawai bersih di sekelilingnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram