SEORANG pemain liga bawahan England berdepan satu insiden aneh apabila matanya secara tidak sengaja dicucuk pengadil dalam satu momen mengejutkan pada Sabtu.
Kejadian berkenaan berlaku ketika aksi antara AFC Halifax Town dan Southend United ketika pengadil, Paul Marsden memberi isyarat bola sudah keluar daripada kawasan permainan.
Bagaimanapun, Marsden yang melayangkan tangan kanannya tidak menyedari bahawa pemain Halifax Town, Luke Summerfield berada di belakangnya ketika itu.
Pemain berkenaan boleh dikatakan tidak bernasib baik apabila tangan pengadil berkenaan mengenai wajahnya sebelum salah satu jarinya mencucuk mata Summerfield.
Lebih mengejutkan lagi, Marsden bertindak melayangkan kad merah kerana beranggap pemain berkenaan dengan sengaja mengganggu tugasnya di atas padang.
Keputusan itu jelas mengakibatkan pemain kedua-dua pasukan mengerumuninya dengan mengharapkan pengadil tersebut dapat menarik semula layangan kad merah terbabit.
Namun, Marsden bertegas dengan pendiriannya, sekali gus memaksa Halifax Town beraksi dengan 10 pemain selepas Summerfield diarahkan untuk keluar padang pada minit ke-20 permainan.
Tetapi, ketiadaannya tidak menjejaskan kesungguhan mereka apabila pasukan kendalian Chris Millington berjaya meledak gol penyamaan pada penghujung permainan.
Jaringan tersebut sekali gus memastikan Halifax Town berjaya membawa pulang satu mata berharga apabila keputusan berakhir dengan keputusan seri 1-1. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram