DEBARAN semakin terasa bagi seluruh penyokong Harimau Malaya apabila skuad kendalian Kim Pan-gon bakal berdepan Syria pada Rabu.
Beraksi jauh dari laman sendiri dan sokongan padu 'ekor Harimau Malaya', Malaysia akan berdepan pelbagai cabaran sewaktu bertemu dua pasukan yang lebih tinggi rankingnya iaitu Syria dan China.
Penganalisis sukan, Dr Zulakbal Karim berkata, Pan-gon dan para pemainnya bukan sahaja bakal terdedah kepada pertarungan taktikal tetapi mental turut akan teruji.
Hal ini kerana, selama ini Malaysia hanya beraksi dengan pasukan yang setara dengan kekuatan mereka. Jadi, dua aksi persahabatan menentang Syria dan China akan memaksa Harimau Muda keluar dari zon selesa.
Skuad Malaysia melakukan persiapan akhir sebelum turun menentang Syria. — FAM
"Pertama sekali, saya melihat pasukan kita akan dapat belajar mengenai corak permainan pasukan yang ranking lebih tinggi daripada kita dan bagaimana pemain kita dapat menyerap tekanan yang diberikan oleh mereka.
"Kedua, kita dapat belajar banyak dari segi psikologi. Macam mana mentaliti pasukan bila menyerang dan bertahan apabila menerima serangan daripada Syria nanti?
"Sebelum ini, kita sering berdepan dengan pasukan yang lebih rendah rankingnya daripada kita, jadi kita sudah tahu macam mana tekanan yang diberikan oleh mereka. Sekarang ini kita berdepan dengan pasukan yang lebih baik, semestinya mereka ada corak permainan, serangan dan taktikal yang akan beri banyak masalah kepada kita. Dari situasi inilah, Malaysia akan dapat belajar (untuk baiki pasukan)," kata Zulakbal kepada Majoriti.
Menyedari menentang pasukan yang jauh lebih tinggi daripada Malaysia dalam ranking FIFA, Zulakbal tidak mengharapkan kejutan hebat dilakukan oleh Harimau Malaya tetapi dia mengharapkan akan ada saingan sengit diberikan.
"Kita boleh jangkakan sesuatu yang luar dari kebiasaan yang pernah dicapai oleh Harimau Malaya kerana set pemain yang kita ada sekarang lebih baik berbanding sebelum ini. Oleh itu, kita boleh mendapatkan keputusan luar jangka dengan bersaing hebat dengan mereka.
"Namun begitu, untuk dapatkan keputusan yang lebih hebat daripada itu, saya tak berani cakap. Kita baru nak mula bermain dengan pasukan yang lebih tinggi rankingkan daripada kita dan sebelum ini pun kita hanya bertemu pasukan yang ranking setara atau lebih bawah daripada kita," tambah Zulakbal lagi.
Paulo Josue antara salah sebuah pemain naturalisasi Malaysia. — FAM
Rekod lima perlawanan terakhir Syria ketika ini tidak begitu baik kerana mereka cuma menang satu aksi sahaja ketika bertemu Thailand. Mereka mencatatkan empat kekalahan bertemu Venezuela, Oman, Bahrain dan Vietnam.
Sementara Malaysia pula menang empat dalam lima aksi terakhir iaitu ketika bertemu Hong Kong, Turkmenistan, Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea. Satu-satunya kekalahan Malaysia dalam lima aksi terakhir adalah ketika bertemu Thailand dalam aksi Piala AFF 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram