KANCAH liga bola sepak Malaysia sentiasa dipenuhi dengan aksi menarik daripada pemain berbakat yang kian tumbuh bagai cendawan saban tahun.
Mewakili pasukan yang berbeza, ia sekali gus merancakkan lagi sokongan penyokong terhadap saingan tempatan dengan aksi menarik dipamerkan individu yang pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu.
Namun, ada di antara mereka yang terkandas di tengah jalan susulan gagal mengekalkan prestasi ataupun boleh dikira kurang bernasib baik untuk terus menyinar tidak seperti beberapa pemain 'senior' yang lain antaranya Amri Yahya, Zaquan Adha, S. Kunanlan dan Azamuddin Akil.
Dalam pada itu, beberapa pemain yang satu ketika dahulu disanjung peminat gagal menyerlah seperti yang dijangkakan selepas masing-masing terhenti ketika berada di puncak karier.
Dilabel sebagai pemain 'underrated' oleh sebilangan penyokong, berikut merupakan empat individu yang 'hilang' daripada kancah bola sepak tanah air.
1. Badri Radzi
Pemain sensasi pasukan Kelantan ini antara yang paling 'menyengat' satu ketika dahulu dengan persembahannya bersama skuad The Red Warrior (TRW) sentiasa digeruni pihak lawan di era kegemilangannya.
Namun, bakatnya sukar untuk dikesan oleh pengendali skuad Harimau Malaya dengan Badri Radzi ataupun Piya hanya pernah tersenarai sekali ketika perlawanan persabahatan antarabangsa dan pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada 22 Mac 2013.
Selain itu, aksinya bersama skuad kebangsaan hanya tersenari dalam perlawanan cebisan seperti perlawanan persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea pada 2011.
Selepas lebih hampir sedekad menyumbang jasa bersama pasukan Cik Siti Wan Kembang, dia akhirnya meninggalkan skuad TRW yang ketika itu beraksi di Liga Perdana pada 2019.
Walaupun belum mengumumkan persaraannya, dia yang sudah mencecah usia 40 tahun kini tidak lagi bersama mana-mana kelab yang beraksi di Liga M.
2. Ashari Samsudin
Ashari Samsudin menghabiskan kariernya dengan hanya mewakili dua pasukan iaitu Terengganu FC dan dan Sri Pahang FC.
Memulakan kariernya bersama Terengganu pada 2005 hingga 2016 dengan lebih 200 penampilan, dia kemudiannya berhijrah ke Pahang selama semusim pada 2017 sebelum kembali ke Terengganu pada tahun berikutnya.
Untuk rekod, bekas pemain kebangsaan itu juga merupakan pemenang kasut emas Liga Super 2010 dengan 18 jaringan, enam gol mengatasi penyerang Safee Sali yang berada di tempat kedua dengan 12 gol.
Penampilannya bersama skuad negara pula menyaksikan Ashari memiliki 15 penampilan dengan tiga gol berjaya dihasilkan namun segalanya terhenti apabila pemain itu mengambil keputusan untuk bersara dari persada bola sepak profesional pada usia 34 tahun.
Ashari yang ketika itu mewakili skuad Penyu menolak tawaran kontrak daripada pengurusan kejurulatihan dan nekad dengan keputusannya mahu bersara.
3. Ahmad Fakri Saarani
Skuad emas Sukan SEA 2009 dan 2011 iaitu Ahmad Fakri Saarani antara individu yang pernah meraih perhatian ramai peminat tanah air susulan ledakan tajamnya ketika di depan pintu gol.
Pernah dianggap antara prospek skuad bola sepak kebangsaan serta turut diberi peluang beraksi bersama kelab divisyen dua Portugal iaitu Atletico S.C, namun sebaik sahaja pulang dari Portugal, prestasi pemain kelahiran Kelantan itu dilihat kurang memuaskan.
Walaupun gagal mendapat tawaran daripada pasukan Liga Super, pemain berusia 34 tahun itu sebenarnya masih boleh beraksi selepas kontraknya tamat bersama KL City.
Pada 2020, dia menyertai kelab Liga M3 Perlis iaitu Northern Lions FC namun keadaan Covid-19 menyebabkan dia tidak mendapat peluang beraksi bersama pasukan tersebut.
Kali terakhir dilihat bermain dalam kancah bola sepak tempatan adalah ketika dia menyarung jersi pasukan Budak Rumah Murah (BRM) FC dalam Liga M3 pada 2022.
4. Yong Kuong Yong
Bekas pemain Penang FC, Yong Kuong Yong juga turut tersenarai dalam pilihan pemain 'under rated' penyokong susulan bakatnya selaku pemain berbangsa Cina yang masih segar dalam ingatan ramai.
Sejak awal kariernya, Yong lebih dikenali sebagai pemain tengah dan juga penyerang iaitu ketika bermain bersama Kuala Lumpur, Felda United dan Perak.
Perubahan posisi secara drastik adalah ketika Yong beraksi di bahagian pertahanan tengah dan kanan ketika mewakili Pulau Pinang pada musim 2014.
Namun, kelibatnya di atas padang kini hanya tinggal sejarah selepas dia mengumumkan persaraannya dari kancah bola sepak Malaysia kerana mahu menjaga anaknya yang menghidap autism.
Meskipun dia difahamkan mendapat beberapa tawaran daripada kelab tempatan, namun Yong Kuong Yong tetap dengan pendiriannya untuk kekal bersara.
Kini dia difahamkan sedang menceburi bidang kejurulatihan dan mempunyai Lesen Kejurulatihan B. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram