[VIDEO] Wayar kereta kabel putus, 7 murid 'tergantung' selama 15 jam


  • Benua
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Tangkap layar petugas keselamatan sedang menurunkan beberapa mangsa terkandas dalam kereta kabel di Islamabad, Pakistan.

SERAMAI tujuh kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa berjaya diselamatkan selepas kesemua mereka terkandas di udara akibat wayar kereta kabel yang dinaiki terputus di Islamabad, Pakistan pada Selasa.

Mangsa dilaporkan tersangkut selama 15 jam sebelum pasukan penyelamat Pakistan tampil membantu mereka.

Operasi dijalankan selesai pada lewat malam selepas kereta kabel berkenaan terhenti pada awal pagi.

Perdana Menteri sementara, Anwaar-ul-Haq Kakar berkata, semua kanak-kanak dan mangsa terlibat telah berjaya diselamatkan.

"Ia merupakan satu kerjasama yang baik antara pasukan tentera, jabatan penyelamat, pentadbiran daerah serta penduduk tempatan," ciapnya di laman Twitter.

Pakar lintasan kabel telah cuba menyelamatkan kanak-kanak itu satu demi satu dengan memindahkan mereka ke sebuah platform kecil di sepanjang laluan kabel tersebut.

Satu rakaman tular memaparkan seorang kanak-kanak diusung ke kawasan selamat menggunakan tali pinggang keselamatan.

Sebuah video yang dikongsi oleh pegawai agensi penyelamat menunjukkan lebih sedozen penyelamat dan penduduk tempatan berusaha menarik kabel yang diikat pada seorang budak lelaki sebelum selamat sampai ke lereng bukit.

Terdahulu, salah satu tali kereta kabel itu dilaporkan terputus sekitar pukul tujuh pagi ketika pelajar sedang dalam perjalanan ke sekolah di kawasan pergunungan Battagram, Pakistan.

"Kereta kabel itu tersangkut separuh jalan merentasi gaung, kira-kira 275 meter di atas tanah," kata Shariq Riaz Khattak yang merupakan pegawai penyelamat di situ.

Misi menyelamat menggunakan helikopter dibatalkan susulan tiupan angin kencang yang boleh menjejaskan kestabilan kereta kabel berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram