PEMERGIAN seorang jemaah lelaki dicemburui ramai selepas arwah disahkan meninggal ketika menunaikan solat Asar di sebuah masjid dekat Temerloh, Pahang pada Selasa.
Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul lima petang itu, arwah kelihatan sedang berada dalam posisi duduk takhiyat akhir dan seakan terkaku sebaik cuba untuk bangun dan bergerak.
Dibantu beberapa jemaah lain di situ, individu terbabit kemudiannya rebah dan difahamkan meninggal di lokasi kejadian.
Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), video berdurasi tiga minit empat saat itu mula tular di laman Tik Tok sejak Rabu.
Rata-rata warganet di laman media mengucapkan takziah atas pemergian insan tersebut namun, segelintir daripadanya meluahkan kesalan atas sikap beberapa jemaah yang dikatakan lewat memberi pertolongan ketika kejadian.
Berpendapat arwah mampu diselamatkan sekiranya bantuan lebih awal dihulurkan, beberapa jemaah kelihatan terus mengabaikan situasi tersebut meskipun dikelilingi ramai individu lain di masjid berkenaan.
"Takziah buat Allahyarham, tapi agak terkilan dengan orang di kiri dan kanan macam buat tak tahu, berair mata tengok situasi arwah terkulai berseorangan," kata Adaniyyamaya.
"Kenapa selepas selesai solat jemaah di sebelah tak datang tengok, mungkin boleh beri bantuan awal dan diselamatkan, semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman," ujar Pahlawan.
"Kematian dicemburui, kesal sikap segelintir masyarakat yang kurang peka dan tak tahu nak buat apa dalam situasi tersebut," jelas Khadijah.
"Kalau dalam situasi seperti ini, jemaah boleh tinggalkan solat dan bantu pesakit yang nazak, semoga arwah tenang di sana," tambah ZainalRahim.
Dalam pada itu, seorang individu dikenali sebagai Mat Apit 07 di ruangan komen, menjelaskan arwah merupakan abang sepupunya dan memohon orang ramai sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.
"Al-Fatihah untuk abang sepupu saya, Rahman Raffei namanya," ujarnya.
Justeru, orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan hal terbabit dengan Allahyarham juga difahamkan sudah selamat dikebumikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram