MB Selangor nafi data bocor, minta pengendali sistem INSAN bagi kenyataan


  • Primer
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Amirudin Shari menafikan dakwaan berlaku kebocoran dan salah guna data dalam Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN). — The Star

MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menafikan dakwaan berlaku kebocoran dan salah guna data rakyat negeri itu dalam melaksanakan polisi Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) sebagaimana yang tular di media sosial pada Rabu.

Amirudin menjelaskan data berkenaan ialah data awam yang boleh dibeli, serta menafikan keuntungan daripada pelaksanaan polisi berkenaan telah digunakan bagi membiayai kempen pilihan raya lepas.

"Apa yang berlaku, skim ini melaksanakan proses prapendaftaran dengan kita berhubungan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya SPR boleh mengemukakan data. Data itu merupakan data awam yang boleh dibeli dan kita mendaftarkan mereka sebagai prapendaftaran.

"Sebab itu bagi mereka yang telah mendapat (notifikasi) prapendaftaran ini, boleh terus mengesahkan maklumat berkenaan pendaftaran tersebut dan barulah mereka akan terangkum di bawah sistem polisi INSAN," katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Exco Khas di Shah Alam pada Rabu.

Namun, katanya beliau akan meminta pihak pengendali kepada sistem INSAN memberikan kenyataan berhubung perkara itu dan menjelaskan proses prapendaftaran itu dilakukan untuk memudahkan polisi itu dilaksanakan tanpa perlu melakukan pendaftaran satu persatu.

"Kita akan mantapkan kawalan kita terutama jika berlaku pelanggaran terhadap data dan sebagainya, tetapi yang berlaku ini adalah prapendaftaran maknanya kalau tak nak tak perlu ambil polisi ini," katanya.

Amirudin berkata, buat masa ini pihaknya akan mengetatkan kawalan untuk tidak membenarkan semua pihak boleh mengakses kepada prapendaftaran polisi terbabit. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram