BOLA pegun yang bermaksud kepada situasi bola mati termasuk sepakan percuma dan sepakan sudut, sentiasa penting dalam membantu sesebuah pasukan menghasilkan jaringan. Kolum baru ini, seperti yang dinamakan demikian, akan cuba berkongsi sorotan mengenai jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.
TABIK, Yusri Che Lah!
Saya harus akui saya adalah antara yang pesimis terhadap jurulatih kelahiran Perlis berusia 47 tahun itu ketika dinamakan jurulatih sementara Perak FC menggantikan Datuk Lim Teong Kim yang dipecat pada 25 Mei lalu.
Untuk dia mengisi kerusi yang dikosongkan Teong Kim – jurulatih yang terdedah kepada bola sepak Eropah di Jerman selaku penolong jurulatih pasukan bawah 19 tahun Bayern Munich di antara 2001- 2011 – dirasakan tugas yang terlalu besar untuknya.
Namun, kita kadang-kadang terlupa Yusri, yang kerjaya pemainnya meliputi empat pasukan berbeza di samping membuat tiga penampilan bersama pasukan kebangsaan di antara 1999–2001, juga pernah melatih lima pasukan – Perlis, Felcra, Kelantan, Kuala Lumpur dan skuad Projek FAM-MSN – bukannya seorang yang terlalu mentah atau tandus pengalaman.
Cuma, kejayaan terbatasnya dengan sekadar mampu mengemudi Perak II ke pusingan kedua Piala MFL 2023, itu pun sekadar menduduki tangga kedua tercorot dalam kalangan lapan pasukan, dilihat mengerdilkan kredibilitinya.
Tapi, sebagai seorang yang kuat percayakan kepada rezeki, dia menerima pelantikannya sebagai jurulatih sementara Perak FC sebagai satu cabaran tanpa menjanjikan akan mencapai bulan dan bintang dalam tanggungjawab barunya itu.
"Saya amat mengharapkan pemain cuba melakukan yang terbaik. Saya bukanlah ahli sihir yang boleh menukar (prestasi pasukan) sekali gus. Jadi, saya mengharapkan kehadiran penonton untuk membantu beri sorakan kepada pemain saya,” katanya ketika itu.
Namun, tidak semuanya berjalan dengan lancar dan indah.
Seo-nung (kanan) menjaringkan gol saguhati buat Perak sekali gus membantu The Bos Gaurus layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia. — Facebook/Perak FC
Menelusuri dua perlawanan pertamanya di kerusi pengemudi – kedua-duanya tewas 0-3 kepada Terengganu FC (3 Jun) dan Kedah FC (7 Jun), dia hairannya disahkan akan kekal melatih skuad The Bos Gaurus (TBG) sehingga akhir musim 2023. Itulah yang dinamakan rezeki.
Mungkin Perak FC tidak mahu pening-pening untuk sering bertukar jurulatih yang hanya akan menyulitkan lagi pemain-pemain yang setiap kali itu perlu mengadaptasi kepada pendekatan dan corak permainan yang berbeza-beza.
Dalam pada itu, Yusri dilihat pengurusan Perak FC sudah mampu mengembalikan keharmonian dalam pasukan yang secara tidak langsung membangkitkan semangat baru dalam kalangan pemain di sebalik keputusan tidak akan datang dengan serta-merta.
Dua perlawanan lagi diperlukannya – tewas 1-3 kepada PDRM FC (23 Jun) dan seri 1-1 dengan Kelantan United (7 Julai) – sebelum Yusri mengecap kemenangan sulung dengan menundukkan Kuching City FC 2-1 di tempat lawan pada 16 Julai.
Daripada awalnya menuturkan “Saya bukanlah ahli sihir...”, percakapannya sudah berubah kepada “Sesungguhnya, janji ALLAH itu pasti...” susulan kemenangan pertama itu yang diharapkan Yusri menjadi titik peralihan buat pasukan untuk mengharungi baki musim dengan lebih bersemangat.
Kembali tewas, seterusnya kepada Sri Pahang FC 0-1 (30 Julai), ia tidak merencatkan semangat TBG yang bangkit menewaskan Kedah FC 3-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di hadapan penyokong sendiri pada 3 Ogos, disusuli kejayaan menundukkan Penang FC 3-1 dalam aksi liga di Stadium Perak.
Daripada kehadiran serendah 1,147 ketika menjadi tuan rumah kepada Negeri Sembilan pada 19 April lalu, jumlah penonton sudah melonjak kepada 3,864 dalam pertemuan dengan Penang FC itu pada 9 Ogos sebagai tanda kembalinya sokongan kepada skuad Kejor Yob Kejor.
‘Perak baharu in the making’ -- Trio cemerlang, gol ofsaid Seo-nung bantu tewaskan Penang di Ipoh, kata satu tajuk Majoriti menyusuli perlawanan itu dan betapa ia amat bertepatan.
Yusri antara watak penting kebangkitan Perak FC dalam baki saingan liga. — Facebook/Perak FC
Seterusnya, apabila Perak FC mengesahkan kemenangan agregat 4-3 hasil keputusan 1-2 dalam aksi peringkat kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Alor Setar, Jumaat lalu, ia membuka mata ramai, termasuk penyokong yang awalnya kurang meyakini kemampuan Perak FC untuk mara sejauh suku akhir.
Beraksi dengan 10 pemain dari minit ke-55 selepas Khairul Asyraf Ramli dilayangkan kad merah dalam situasi yang kemudian menyaksikan mereka ketinggalan 0-2, Perak FC menjamin kemaraan hasil tandukan Seo Seon-ung selewat minit ke-85.
Sambil Yusri dilihat berpelukan dengan barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan seusai perlawanan, pemain pula melakukan sujud syukur untuk mereka terus berbekalkan perjuangan lanjut dan menghargai besarnya nilai kepercayaan – kepada kemampuan sendiri dan jurulatih yang sentiasa percayakan mereka.
"Saya rasa orang tidak ramal kami akan mara ke suku akhir. Apabila kami bermain dengan 10 orang dan selepas itu Kedah memperoleh gol kedua, sebenarnya ia sudah menamatkan perjuangan kami tapi perancangan ALLAH untuk kami lebih baik,” kata jurulatih itu menahan sebak.
Bakal berhadapan Sabah dalam suku akhir, tiada siapa yang boleh menduga bagaimana kesudahannya nanti. Tapi dengan kehadiran Yusri untuk terus membangkitkan semangat mereka, apa-apa saja berkemungkinan pada peringkat ini.
Barangkali juga ramai yang lupa bahawa Perak FC yang awalnya memiliki hanya dua kemenangan, tetap berisiko untuk diturunkan ke liga bawahan tapi harus tidak lagi.
Berjurang lapan mata dengan pesaing terdekat di tangga ke-11 ketika aksi liga cuma berbaki enam perlawanan lagi, Perak FC sudah boleh menempah reka corak jersi baru bagi saingan Liga Super 2024.
Tabik, Yusri Che Lah! — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram