KOMBINASI pemain yang 'menjadi' membantu Sri Pahang FC mencipta kemenangan 2-0 ke atas Harini FT di halaman sendiri pada Ahad.
Keputusan pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang itu sekali gus membolehkan Sri Pahang mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 5-2, selepas merekodkan kemenangan 3-2 pada aksi pertama di Paroi, awal bulan ini.
Ketua Jurulatih Fandi Ahmad nyata berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak buahnya yang berjaya menterjemahkan perancangan semasa latihan dengan baik, terutama pada babak kedua perlawanan.
"Apa yang kita berlatih, itulah yang dilakukan pemain iaitu perancangan melakukan serangan dari bahagian sayap yang hasilnya membolehkan kita memperoleh dua gol.
"Bukan senang untuk berhadapan sebuah pasukan yang memiliki semangat juang tinggi, yang juga bermain dengan agak keras, tetapi syukur kerana pemain kita agak tenang dengan situasi di padang," katanya selepas tamat perlawanan pada Ahad.
Kpah menjaringkan dua gol sekali gus membantu Sri Pahang layak ke pusingan seterusnya.
Pada perlawanan itu, kapten yang juga penyerang skuad Tok Gajah, Kpah Sherman muncul wira apabila meledakkan kedua-dua jaringan pada minit ke-42 dan ke-51.
Fandi mengakui tuan rumah sukar menembusi pertahanan Harini FT dalam separuh masa pertama yang kental bertahan tetapi selepas gol pertama pasukannya, ia membuka laluan yang lebih mudah.
"Harini bersemangat tinggi, berjuang dan bermain agak keras, nasib baik pemain kami agak tenang.
"Kombinasi kami menjadi dan dalam babak kedua kami makin mendominasi. Kami menguasai separuh padang dalam separuh masa pertama tetapi pasukan lawan tetap kompak.
"Gol pertama itu menaikkan semangat kami dan menjatuhkan semangat lawan.
"Banyak peluang di depan dilepaskan oleh Kpah (Sherman) dan Baqiuddin Shamsudin, seharusnya mempunyai penyudah lebih baik.
"Kami perlu mengasah lagi (ketajaman) mereka," jelasnya.
Kesebelasan utama Harini FT ketika bertemu Sri Pahang pada Ahad.
Sementara itu, pengendali Harini FT P. Maniam berkata, dia menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka kerana menyedari masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya.
"Babak pertama kita bertahan dengan baik sambil melakukan serangan balas, kita juga mendapat satu peluang keemasan tetapi kemudiannya membuat kesilapan sehingga membolehkan Sherman menjaringkan gol.
"Jika kita berjaya menghasilkan gol, ia dapat memberi lebih tekanan kepada Sri Pahang. Secara keseluruhan kita mempunyai taktikal yang baik dan hanya bolos dua gol kepada pasukan yang berada pada tahap berbeza," ujarnya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram