Vera kata pemain TRW terpaksa bermain, Solari puji kudrat muda JDT


  • Podium
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Vera tampak kecewa dengan prestasi pemain-pemain TRW. — Astro Arena

JUARA bertahan, Johor Darul Takzim (JDT) berpesta gol seterusnya mara ke suku akhir selepas membelasah Kelantan FC 10-0 dan layak dengan agregat 15-1 dalam aksi kedua pusingan 16 terakhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.

Dengan kemenangan itu, lawan JDT pada peringkat seterusnya sama ada Negeri Sembilan FC atau Kelantan United FC yang membuat perhitungan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan pada Ahad dengan skuad kendalian K.Devan menang 1-0 ke atas skuad bimbingan Ailton Silva pada aksi 5 Ogos lalu.

Dalam aksi kedua timbal balik itu, JDT selesa mendahului 4-0 pada separuh masa ternyata menguasai keseluruhan permainan tatkala pengendalinya, Esteban Solari melakukan rombakan kecil dengan menurunkan empat pemain simpanan termasuk penampilan pertama import baharu, Takahiro Kunimoto.

Bersambung babak kedua, pemain-pemain JDT terus melempar garam ke atas luka The Red Warriors (TRW) dengan menambah enam jaringan sekali gus menjadikan keputusan 10-0 sebaik sahaja pengadil meniupkan wisel penamat.

Bergson da Silva turut menjaringkan gol hatrik apabila meledak pada minit ke -21, 43 dan 72.

Gol-gol JDT dijaringkan oleh Takahiro Kunimoto (minit ke-24, 37), Juan Muniz (minit ke-54), Daryl Sham (minit ke-59), Heberty Fernandes (minit ke-61), Arif Aiman (minit ke-64) dan Aysar Hadi (minit ke-90+3).

JDT

Dua pemain muda JDT, Aysar dan Darly berjaya menjaringkan gol ketika menentang Kelantan.

Dalam pada itu, jurulatih Kelantan, Alfredo Vera tampak kecewa dengan kekalahan besar ke atas Harimau Selatan itu.

Vera berkata, pemain-pemain Kelantan tidak bersedia untuk menghadapi perlawanan berintensiti tinggi seperti itu.

"Pemain belum siap untuk pertandingan seperti ini.

"Kerana mereka belum pernah main secara profesional, jadi kita paksa mereka main kerana kita tiada pemain lain," katanya.

Manakala, pengendali JDT, Esteban Solari tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya terutama sekali dengan aksi cemerlang pemain muda yang diturunkan dalam perlawanan itu.

"Saya sangat gembira dengan mereka, kerana mereka membantu pasukan untuk menjadi lebih baik.

"Ada di antara mereka yang hanya berlatih dengan kami tapi tidak mendapat peluang untuk beraksi.

"Tetapi malam ini (Sabtu) apabila mereka diberi peluang untuk bermain mereka menunjukkan kualiti dan memanfaatkan peluang sehabis baik.

"Saya sangat gembira dengan prestasi pasukan dan untuk saya pusingan seterusnya sangat penting buat kami," ujarnya.

Perlawanan menentang JDT ialah kekalahan kedua terbesar Kelantan di bawah bimbingan pengendali Argentina itu yang mana sebelum ini TRW tewas di tangan Terengganu FC dengan keputusan 0-8 pada 14 Ogos lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram